Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuching: Tertarik dengan iklan pelaburan menguntungkan di media sosial, seorang lelaki berusia 25 tahun di Sibu (kira-kira 400 kilometer dari sini) menjadi mangsa penipuan dalam talian dan mengalami kerugian berjumlah RM101,200.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor sebuah syarikat itu melakukan pelaburan dalam talian dengan memuat turun aplikasi 'PSLUS' menerusi Google Play selepas menonton iklan di Facebook pada 30 Mei lalu.

"Mangsa menghubungi nombor Whatsapp 621513-477+60 dan suspek menunjukkan bagaimana cara untuk membuat pelaburan serta mangsa diberitahu akan mendapat keuntungan yang tinggi mengikut nilai pelaburan yang dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa melakukan 11 transaksi pemindahan wang berjumlah RM101,200 ke enam akaun bank berlainan dari pertengahan Jun hingga awal bulan ini.

Mohd Azman berkata, lelaki itu hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima hasil keuntungan pelaburan seperti yang dijanjikan suspek.

Katanya, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 3:02 PM