GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Pengurus sebuah syarikat hartanah di daerah Kota Samarahan mengalami kerugian RM150,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada seorang lelaki berusia 20-an kelmarin.

"Menurut mangsa, dia berkenalan dengan seorang lelaki bernama Lim Cheng Fan melalui media sosial Facebook pada awal September lepas.

"Suspek kemudian mengajak mangsa menyertai pelaburan USDT Currency, sebelum memberikan nombor telefonnya kepada mangsa bagi memudahkan mangsa membuat pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian melakukan sembilan transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM150,000 ketiga akaun bank milik suspek sejak pertengahan September sebagai pelaburan.

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila suspek memberikan pelbagai alasan apabila mangsa menanyakan keuntungan pelaburan yang dibuatnya.

"Selepas itu suspek gagal dihubungi mangsa," katanya yang memaklumkan siasatan lanjut kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 7:39 PM