Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Doktor pakar sebuah hospital swasta kerugian lebih RM2 juta apabila wang miliknya lesap dikebas sindiket pelaburan mata wang kripto dalam talian.

Mangsa berusia 57 tahun dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai lelaki warga Korea bergelar Profesor Kim So Young menerusi laman sosial golongan profesional, LinkedIn Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek menawarkan satu pelaburan pertukaran mata wang kripto dan meminta mangsa membuka akaun di halaman www.ixtik.rest untuk mendapatkan id pengguna.

"Mangsa kemudian melakukan 55 pemindahan wang secara dalam talian ke 37 akaun berbeza yang diberikan oleh suspek bagi tujuan membeli mata wang Amerika Syarikat (USD).

"Mata wang USD berkenaan kononnya untuk ditukarkan ke dalam bentuk mata wang kripto. Keseluruhan wang dipindahkan berjumlah RM 2.09 juta.

"Mangsa menyedari ditipu setelah akaun pelaburan itu tidak dapat diakses dan suspek tidak dapat dihubungi lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Hussein berkata, seorang lagi mangsa mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa sebuah sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

Katanya, mangsa yang berusia 68 tahun adalah bekas jurutera syarikat swasta dihubungi seorang suspek dipercayai wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Anna menerusi halaman LinkedIn.

"Mangsa ditawarkan menyertai pelaburan saham dan dibawa masuk ke dalam kumpulan WhatsApp bernama '1 Year 10 Times Wealth Club'.

"Mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi PSLUS untuk membuka akaun pelaburan dan membuat bayaran deposit," katanya.

Hussein berkata, mangsa membuat bayaran deposit berjumlah keseluruhan RM1.05 juta ke dalam lapan akaun bank berbeza menerusi 19 transaksi sejak 15 Jun hingga 2 Julai.

Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila khidmat pelanggan skim pelaburan terbabit tidak lagi menjawab pertanyaannya di WhatsApp lalu membuat laporan polis di sekitar Sepang, Selangor.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dan memastikan pelaburan hanya dibuat menerusi platform berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan pelaburan mata wang kripto, saham, atau pelaburan yang di media sosial terutama yang menawarkan keuntungan besar dalam tempoh singkat.

"Buat semakan di laman web BNM terlebih dahulu bagi menentukan sama ada sesuatu syarikat pelaburan itu berdaftar atau pun tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 9:37 PM