Melvin Joni

Kuching: Seorang juruteknik di sini sekadar menerima pulangan berjumlah RM16,000 sebelum wang pelaburannya kira-kira RM1 juta dilesapkan sindiket penipuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pada April lalu, lelaki berusia awal 60-an itu melihat satu iklan pelaburan di Youtube dan berminat lalu menekan pautan yang diberi dan mengisi nombor telefonnya.

Katanya, mangsa menerima mesej melalui WhatsApp daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Cindy dan menjemputnya masuk ke dalam kumpulan WhatsApp, yang didalamnya seramai 60 hingga 70 orang ahli.

Menurutnya, mangsa kemudian dijanjikan akan mendapat keuntungan daripada pelaburan saham berkenaan dan suspek telah memberikan satu pautan (https://app.skgodjf.com) bagi memuat naik aplikasi Barings.

MOHD Azman. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Azman. FOTO Arkib NSTP.

"Mangsa memberikan segala maklumat peribadi bagi mendaftar masuk pelaburan di aplikasi Barings itu.

"Pada awal Mei lalu sehingga Julai ini iaitu dalam tempoh dua bulan, mangsa membuat pembayaran sebanyak 25 kali transaksi kepada lima akaun bank yang berbeza dengan jumlah RM1.1 juta.

"Mangsa hanya menerima dua kali pulangan sebanyak RM16,000 dan jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah lebih kurang RM1 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohd Azman berkata mangsa yang menyedari ditipu kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 5:36 PM