GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Sibu: Guru sebuah sekolah swasta di sini, 'berputih mata' apabila wang pelaburannya sebanyak RM89,000 hangus akibat menjadi mangsa penipuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pada awalnya, lelaki berusia awal 30-an itu berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai Jooyee Yap Jia Yuan menerusi aplikasi Tantan.

Katanya, selepas itu, suspek mengajak mangsa untuk membuat pelaburan emas dengan menjanjikan keuntungan 18 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat.

"Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi BFMDTRADE dan diberikan penerangan mengenai pelaburan sebelum suspek meminta mangsa membuat pembayaran ke beberapa akaun bank.

"Mangsa melakukan 18 transaksi pemindahan wang berjumlah RM89,000 ke 11 akaun bank berlainan antara penghujung April sehingga Mei lalu.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima apa-apa pulangan daripada pelaburan yang dibuat dan suspek juga gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azman berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada 21 Julai lalu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan juga sebat termasuk denda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 11:55 AM