KAMARUL Zaman
KAMARUL Zaman
BERNAMA

Johor Bahru: Sebanyak 16 kes penipuan pelaburan direkodkan di negeri ini dengan kerugian berjumlah RM1.08 juta dalam tempoh seminggu sejak 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, nilai kerugian yang dilaporkan adalah antara RM300 hingga RM315,469.

Menurutnya, nama-nama kes pelaburan yang dilaporkan adalah seperti Pslus AERS, Bitcoin, Fxpro, BF8 Coin, Sedia Investment Promotion, MIDF, Aplikasi Aico, Krypto Yomaex, Domain, Plan Basic LN (606) dan Delta.

"Modus operandi bagi kes-kes pelaburan berkenaan adalah mangsa akan ditawarkan memasuki pelaburan dengan dijanjikan keuntungan pelaburan yang berlipat kali ganda dalam tempoh singkat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan yang melibatkan transaksi kewangan.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mendapatkan maklumat terkini modus operandi jenayah komersil.

"Orang ramai juga boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 2:47 PM