GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Ismail


Segamat: Dua lelaki termasuk pesara awam menjadi mangsa terbaharu skim penipuan pelaburan tidak wujud di daerah ini sehingga kerugian hampir RM1 juta.

Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata pihaknya menerima aduan dari dua warga tempatan itu pada awal dan hujung bulan lalu, yang terpedaya menerusi pelaburan dalam laman talian Accerx.Com.

Katanya, mangsa pertama lelaki berusia 71 tahun yang juga pesara kerajaan memaklumkan melayari laman sosial pada awal Januari, lalu dan tertarik dengan pelaburan menawarkan pulangan tinggi.

"Oleh kerana percaya dan mahu mendapatkan keuntungan tinggi, mangsa membuat 20 kali transaksi pembayaran berjumlah RM498,200 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

"Mangsa menyedari ditipu selepas sehingga kini tidak menerima pulangan dan diarahkan membuat pelbagai bayaran lain bagi mengeluarkan wang pokok dan keuntungan diperolehi luar biasa sebagaimana dipaparkan dalam laman pelaburan berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Ahmad Zamry berkata mangsa kedua lelaki berusia 51 tahun juga kakitangan sebuah kilang pula memaklumkan melayari laman sosial Accerx.Com pada hujung bulan lalu dan tertarik dengan iklan pelaburan dalam talian keuntungan wang dipaparkan.

"Mangsa membuat lebih lima transaksi pembayaran berjumlah RM421,104 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

"Mangsa syak dirinya ditipu selepas tidak menerima wang keuntungan dijanjikan, sebaliknya diarahkan membuat bayaran tambahan sebelum wang keuntungan dibayar kepadanya," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, sepanjang tahun 2023 lalu, sejumlah RM51 juta kerugian direkodkan angkara Macau Scam, pelaburan dan pinjaman tidak wujud juga menyamar penjawat awam di Segamat.

Segamat menahan 100 suspek dan membuka 182 kertas siasatan serta 84 peratus membabitkan sindiket tipu pelaburan mata wang bitcoin melalui laman Accerx.Com dan pembelian mata wang Kripto.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 1:59 PM