GUSHARIKA Suparman menjaga kakaknya yang terlantar sakit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
GUSHARIKA Suparman menjaga kakaknya yang terlantar sakit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Gombak: Saban hari Gusharika Suparman bimbang ditahan pihak berkuasa kerana tiada dokumen pengenalan diri, namun dia yang menjaga kakak terlantar sakit terpaksa memberanikan diri keluar berkerja demi kelangsungan hidup.

Gusharika, 27, yang dilahirkan di sebuah klinik swasta di sini, tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan kerana pendaftaran kelahiran lewat dilakukan atas beberapa faktor.

Menurutnya, dia berharap dapat memiliki sijil lahir dan kad pengenalan seperti kakaknya, Hemalini, 29, yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas terbabit kemalangan pada 2019 demi masa depan yang lebih baik.

"Ibu bapa saya berasal dari Indonesia, namun ayah (Suparman Ali) berstatus penduduk tetap negara ini, lewat mendaftarkan kelahiran saya.

"Saya dan kakak dilahirkan di Malaysia cuma saya saja yang tiada dokumen diri.

"Saya membuat permohonan dokumen sejak berusia 16 tahun, namun sehingga kini masih belum berjaya walaupun sudah beberapa kali dibuat," katanya ketika ditemui ketika ziarah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) di rumah sewanya di Tanah Gantian Sungai Tua di sini, hari ini.

Menurutnya, tanpa dokumen itu dia tidak dapat mencari kerja yang lebih baik untuk menanggung keluarga dan ketika ini dia berkerja sebagai pembantu gerai air milik rakannya dengan gaji harian sebanyak RM60.

"Saya tinggal di rumah sewa bersama ayah dan kakak serta dua anaknya masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia lapan dan sembilan tahun.

"Boleh kata saya yang tanggung keluarga kerana ayah sudah berusia. Saya bimbang kalau nasib tak baik boleh ditahan pihak berkuasa, macam mana keluarga saya terutama kakak yang tidak berdaya, malah suatu hari nanti saya juga akan berkeluarga.

"Sebab itu berharap sangat dapat kad pengenalan supaya tiada masalah di kemudian hari," katanya.

Menurutnya, ketika ini dia dibantu ayah dan kakak sepupunya, Rozalina Abdullah, 33, untuk menguruskan kakaknya, Hemalini dan dia akan menguruskan kakaknya itu sebelum keluar berkerja, namun mengakui ia bukan satu bebanan kepadanya.

"Kakak kemalangan bersama suami dan dua anaknya tetapi kakak kurang bernasib baik kerana hilang upaya selepas melakukan pembedahan membuang darah beku di kepala.

"Kakak mendapat bantuan pencen ilat sebanyak RM1, 200 sebulan dan masih memerlukan rawatan susulan di hospital dan kami akan dibawa oleh Kak Rozalina dengan keretanya kerana saya tiada lesen memandu dan kenderaan, malah sangat bersyukur kakak sepupu sudi bantu kami.

"Saya tidak pernah berasa terbeban menjaga kakak cuma keadaan ekonomi keluarga ketika ini buat kami dihimpit kesukaran.

"Kalau saya ada dokumen mungkin saya boleh cari kerja yang mempunyai pendapatan lebih," katanya memberitahu kakaknya turut dibantu pihak zakat.

Sementara itu, Ketua Pemuda Kebangsaan IRIMM Mohd Kassim Alla Pitchay berkata, pihaknya hadir membantu Gusharika atas dasar prihatin untuk meringankan bebannya selain akan membantu pemuda itu dalam menyelesaikan berkenaan permohonan dokumen pengenalan dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:19 PM