Gambar kenangan keluarga Muhammad Nurieman (tengah belakang) bersama kakak tersayang, Nur Natrah (belakang, dua dari kanan) dan ibu bapa serta ahli keluarga lain. FOTO IHSAN MUHAMMAD NURIEMAN DAHARUDDIN
Gambar kenangan keluarga Muhammad Nurieman (tengah belakang) bersama kakak tersayang, Nur Natrah (belakang, dua dari kanan) dan ibu bapa serta ahli keluarga lain. FOTO IHSAN MUHAMMAD NURIEMAN DAHARUDDIN
Noor Hidayah Tanzizi


Rompin: "Masih terpahat dalam ingatan sekujur tubuh yang kaku dalam keretanya.. Perginya tiada galang ganti dalam keluarga kecilku. (Aku) reda dengan pemergiannya tetapi hati ini masih merinduinya setengah mati".

Itu antara nukilan Muhammad Nurieman Daharuddin, 23, sempena setahun pemergian kakak tersayang, Nur Natrah Daharuddin yang meninggal dunia ketika berusia 26 tahun dalam kemalangan jalan raya pada 10 September tahun lalu.

Perkongsian nukilan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor diserta video memaparkan dia memegang cermin mata kakaknya, imbasan kejadian itu, ziarah pusara dan video kenangan mereka meruntun hati netizen di TikTok yang turut merasai kesedihan pemuda itu.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Nurieman berkata, dia anak keempat, manakala kakaknya anak ketiga daripada enam beradik dan hubungan mereka sangat rapat kerana jarak usia yang tidak terlalu jauh berbanding adik-beradik lain.

Menurutnya, Nur Natrah sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, Nur Airis Sofea Khuzairi yang kini sudah berusia setahun sembilan.

"Saya buat video itu sebagai nukilan dan luahan hati yang sangat merinduinya selain sebagai tanda mengingati (genap setahun) pemergian arwah lagipun kami memang paling rapat.

"Bagi saya selain emak dan abah, arwah juga saya anggap seperti tulang belakang saya dan banyak kenangan kami yang tidak akan saya lupakan terutama ketika kami tinggal bersama sewaktu pandemik Covid-19 lalu," katanya ketika dihubungi.

Mengimbas kejadian berlaku, Muhammad Nurieman berkata, ketika itu kakaknya dalam perjalanan pulang ke rumah ibu di Felda Selendang 4, Kuala Rompin bagi mengambil wanita itu, adik dan anaknya untuk ke Jeti Tanjung Gemok, Kuala Rompin.

"Ketika itu, kami sekeluarga mahu bercuti ke Pulau Tioman dan ketika kejadian saya dan abah sudah berada di jeti serta menunggu mereka di sana untuk menaiki feri ke pulau itu.

"Kakak meninggalkan seorang anak perempuan yang dijaga suaminya dan jika suaminya berkerja di luar negara, Nur Airis Sofea akan dijaga ibu bapa saya (Rozita Mat Saat, 41, dan Daharuddin Abd Latif, 56) dan mentuanya," katanya.

Berhubung nukilannya di TikTok, pemuda itu berkata, dia hanya menyunting dan berkongsi video itu sebagai kenangan untuk kakak kesayangannya serta mengakui tidak menyangka ia akan mendapat perhatian ramai namun berterima kasih untuk semua yang mendoakan insan tersayangnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 12:48 PM