Oleh Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Kenapa kakak dah meninggal? Kakak dah tak ada?"

Itu antara soalan ditanya Muhammad Addin Muttaqin Ahmad Sabri, 6, adik tiri kepada penuntut Universiti Mu’tah, Jordan, Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, 21, yang maut dalam kemalangan jalan raya di negara itu.

Ketika ditemui di rumahnya di Flat Seri Selangor Jalan San Peng di sini, dia yang mungkin belum memahami mengenai kematian mengakui rindu dengan kakaknya.

Dia juga masih mengingati perbualan terakhir dengan kakaknya ketika arwah pulang bercuti pada Julai tahun lalu.

"Kakak, nak makan nasi," katanya mengulangi perbualannya yang mahu meminta arwah menyediakan makanan untuknya.

Muhammad Addin Muttaqin turut menyifatkan kakaknya yang kadangkala memarahinya kerana tidak mendengar kata sebagai seorang yang pandai memasak.

"Kakak pandai masak, sama juga macam ibu.

"Kakak belajar di Jordan, jauh," katanya.

Sementara itu, seorang lagi adik arwah, Muhammad Iqram Fahmi, 12, berkata, arwah sentiasa berpesan kepadanya supaya belajar bersungguh-sungguh.

"Kakak pesan supaya saya belajar sungguh-sungguh dan rajin. Kakak selalu ajar saya Bahasa Arab dan buat kerja rumah seperti melipat kain, basuh dan gosok baju.

"Kenangan yang paling saya ingat bersama kakak ialah ketika kami belajar bersama-sama di rumah," katanya yang mahu mengikuti jejak langkah kakaknya mendalami ilmu agama di universiti luar negara.

Arwah mempunyai seorang lagi adik tiri perempuan iaitu Fatin Jannatu Adnin Ahmad Sabri, berusia 8 tahun.

Fatin Iqmal, antara tiga penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan di Safawi, tidak jauh dari bandar Mafraq di utara Amman, Jordan, Sabtu lalu.

Sementara itu, ibu arwah, Rapidah Mat Rani, 47, sebak ketika mengingati kembali pertanyaan anaknya mengenai kematian.

"Ibu bangga tak kalau kakak mati fisabilillah?" tanya arwah Fatin Iqmal suatu ketika dahulu.

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya, namun reda apabila anak yang paling rapat dengannya itu kini sudah tiada.

"Arwah selalu mengadu kepada saya mengenai semua perkara kerana adik-adik masih kecil termasuk berkaitan peribadi.

"Dia selalu beri saya kata-kata semangat dan motivasi, sekarang saya tak ada sesiapa lagi nak luahkan perasaan dan kongsi cerita. Kata- kata, telatah dan perwatakan Fatin tidak mungkin luput daripada ingatan saya sebagai ibu," katanya yang menangis.

Terdahulu, keluarga Fatin Iqmal menerima sumbangan RM10,000 daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd Rafi Ali Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Cheras, Johari Yazid.

Rapidah bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan sumbangan dan mendoakan mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, sumbangan yang saya terima ini saya akan gunakan untuk membayar hutang arwah sekiranya ada.

"Saya juga akan mengupah Umrah atau Haji untuk arwah memandangkan dia pernah berniat untuk menunaikan Umrah ketika cuti tetapi terpaksa dibatalkan," katanya.

Kos keseluruhan urusan membawa pulang jenazah Fatin Iqmal Idziyani disumbangkan oleh Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM15,000, manakala RM3,000 untuk urusan pengebumian di Lenggong, Perak.

Jenazah tiga mangsa dipindahkan ke Hospital Basyeer di Amman, Jordan bagi urusan penghantaran pulang ke Malaysia melalui penerbangan komersial, sementara dua mangsa yang cedera sudah dipindahkan ke Hospital Al Amir Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 6:29 PM
Bapa tiri Fatin Iqmal, Ahmad Sabri Mat Bahrin, 50 (dua, kanan) Rapidah  (dua, kiri), Muhammad Iqram ( kanan) dan Muhammad Addin Mutaqqin, 6 (kiri) ketika ditemui wartawan hari ini. FOTO Rosela Ismail
Bapa tiri Fatin Iqmal, Ahmad Sabri Mat Bahrin, 50 (dua, kanan) Rapidah (dua, kiri), Muhammad Iqram ( kanan) dan Muhammad Addin Mutaqqin, 6 (kiri) ketika ditemui wartawan hari ini. FOTO Rosela Ismail