ROHANI aludin menunjukkan gambar kad pengenalan arwah kakaknya, Masriah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ROHANI aludin menunjukkan gambar kad pengenalan arwah kakaknya, Masriah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: "Malam kelmarin kakak sempat menikmati mi goreng mamak yang saya beli di pekan. Selepas itu, dia menghilangkan diri sehinggalah jasadnya ditemukan tidak bernyawa dalam parit," kata Rohani Sa'aludin, 71.

Rohani adalah adik kepada Masriah Sa'aludin, 76, yang ditemukan meninggal dunia di dalam parit di Jalan Haji Roshidi, Kampung Tebuk Berihun, di sini, hari ini.

Mengimbau detik terakhir bersama Masriah, Rohani berkata, kakaknya tinggal bersamanya sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, kakaknya berdepan masalah daya ingatan yang lemah selain jarang keluar rumah disebabkan uzur dan faktor usia.

"Kakak tidak menunjukkan sebarang perubahan namun gemar makan mi goreng seminggu sebelum kejadian.

"Kehilangan kakak disedari menantu saya pada 12.30 tengah malam kelmarin sewaktu mahu mencuci botol susu anaknya.

"Kakak tiada di katilnya dan anak lelaki saya (Zulazlan Jamaludin, 39,) berusaha mencari dan menjejaki arwah sebelum memaklumkan kehilangan kakak kepada penduduk kampung," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebuk Berihun, hari ini.

Pada masa sama, Rohani berkata, mereka sekeluarga tidak putus berdoa kepada Allah SWT supaya Masriah ditemui dalam keadaan selamat.

"Bagaimanapun, kami terkejut apabila mendapat khabar kakak ditemui meninggal dunia di dalam parit yang tidak jauh dari rumah kami.

"Sebaik tiba di lokasi, saya pergi tengok arwah dan tak mampu menahan air mata melihat keadaannya sambil mengucap panjang.

"Saya reda apabila Allah SWT ambil insan yang paling saya rapat dan sayang buat selamanya. Selepas ini, suasana rumah pasti sunyi.

"Sewaktu hayatnya, kakak banyak meluangkan masa berbual bersama saya. Dia seorang yang baik dan tidak suka marah selain suka memberi makan kucing," katanya.

Menurut Rohani, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Berihun selewat-lewatnya esok selepas ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 9.11 pagi.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa dijalankan sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam yang tiba di lokasi pada 9.20 pagi.

"Usaha mengesan mangsa dilakukan dan mayatnya ditemukan meninggal dunia dalam parit kira-kira 200 meter dari rumahnya.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita berkaitan

Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia dalam parit

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 8:20 PM