KEADAAN Sekolah Islam Antarabangsa Muslim Care atau dikenali Madrasah Zawiyah .
KEADAAN Sekolah Islam Antarabangsa Muslim Care atau dikenali Madrasah Zawiyah .
Muhammad Saufi Hassan

Idlib: Muslim Care Malaysia (MCM) menyediakan perbelanjaan hampir RM900,000 setiap tahun untuk sekolah di Syria serta Turkiye.

Ia termasuk kos pengurusan seperti gaji guru dan penyediaan peralatan di sekolah serta alat bantu pengajaran yang lain.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya perlu menyediakan RM70,000 untuk beberapa sekolah di dua negara berkenaan setiap bulan.

Menurutnya, kos perlu ditampung MCM kini mencecah RM1 juta setiap tahun.

"Untuk sekolah di dua negara berkenaan, kita mampu untuk menampung pelajar seramai 1,270 orang bagi sesuatu masa dan mempunyai 46 guru serta kakitangan pengurusan sekolah.

"Alhamdulillah, sejak 2014, MCM sudah melahirkan lebih 31,000 pelajar dan ada dalam kalangan mereka ini, sudah kembali berkhidmat untuk sekolah, rakyat Syria dan sebagainya mengikut kapasiti masing-masing.

"Ini adalah matlamat utama kami iaitu menyediakan infrastruktur pendidikan supaya mereka boleh berdiri sendiri dan membangunkan semula Syria yang hampir musnah akibat konflik," katanya.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukan transaksi menerusi akaun Maybank MCM 5644 9041 3882 atau melayari Facebook (FB) rasmi Muslim Care Malaysia Society.

Zulkifli berkata, hanya pendidikan mampu untuk merubah nasib mereka dan pendidikan ini mampu untuk menjadi 'senjata' mereka menentang kezaliman.

"Kami di MCM sangat yakin dan percaya bahawa pendidikan ini mampu menjadi 'harta' paling mahal untuk rakyat Syria atau pelarian negara ini.

"Untuk itu, pada peringkat awal lagi kami sudah berusaha dan menyediakan bantuan pendidikan seperti penyediaan sekolah dan guru untuk anak-anak Syria.

"Anak-anak Syria ini mempunyai hak yang sama dengan anak-anak lain untuk mendapatkan pendidikan dan mereka tidak seharusnya ditinggalkan terus," katanya.

Beliau berkata, sumbangan orang awam dapat membantu MCM untuk meneruskan projek pendidikan kerana ia adalah program jangka panjang dalam memberi bantuan holistik kepada kanak-kanak Syria.

KANAK-KANAK Syria gembira hadir ke sekolah biarpun berdepan dengan ancaman keselamatan.
KANAK-KANAK Syria gembira hadir ke sekolah biarpun berdepan dengan ancaman keselamatan.

Timba ilmu dalam suasana tak selamat

Bersekolah dan belajar berlatar belakangkan bunyi bom, pesawat tempur dan tembakan.

Itu adalah realiti persekitaran sekolah di sekitar bandar ini namun ia tidak pernah menghalang anak-anak kecil ini daripada mengejar ilmu selain terus bersemangat datang ke sekolah.

Kanak-kanak ini tetap hadir ke sekolah setiap hari walaupun ada ketikanya serangan berlaku hampir setiap masa.

Malah kanak-kanak menaruh cita-cita untuk menyambung pelajaran sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan semula Syria.

Penulis melihat sendiri kegigihan serta kecekalan kanak-kanak ini menuntut ilmu dalam keadaan mencabar serta situasi keselamatan yang tidak menentu.

Setiap kali terdengar bunyi pesawat, kanak-kanak ini akan berlindung di bawah meja untuk tujuan keselamatan dan mereka sendiri tidak pasti sasaran setiap pengeboman.

Sekolah Islam Antarabangsa Muslim Care Malaysia (MCM) atau Madrasah Zawiyah yang terletak di Ariha, kira-kira 10 kilometer daripada bandar Idlib itu pernah menjadi sasaran pengeboman beberapa tahun lalu dan mengorbankan dua nyawa.

Kecekalan guru serta kanak-kanak itu memberi inspirasi kepada penulis, malah kanak-kanak ini adalah contoh terbaik berhubung maksud tawakal kepada Allah SWT tanpa mengira keadaan.

Salah seorang murid, Maya Husam, 11, berkata, dia gembira dapat belajar di sekolah bersama rakan-rakan biarpun apa juga keadaan keselamatan.

"Satu hari nanti saya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Saya boleh berkhidmat untuk Syria dan membangunkan semula negara ini seperti dulu," katanya.

Faeid antara murid di sekolah berkenaan yang rajin menghadiri setiap kelas pembelajaran sekolah berkenaan tanpa mengira keadaan serta situasi.

Seorang lagi rakan Maya, Yamin Taha al-Salum, 11, turut berkongsi kegembiraan sama setiap kali hadir ke sekolah kerana dapat menuntut ilmu.

"Ibu bapa saya sememangnya mendorong saya untuk hadir ke sekolah serta menimba ilmu Mungkin satu hari nanti saya boleh membawa ibu serta ayah keluar daripada negara ini dan membina kehidupan baru di tempat lain jika Syria masih belum aman.

"Insya-Allah, doakan kami di Syria" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 8:09 AM