ABU Munzir menunjukkan kecederaan yang dialaminya pada 2019.
ABU Munzir menunjukkan kecederaan yang dialaminya pada 2019.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Idlib: "Ini perjuangan kami, ini jihad kami... Kami hanya mahukan keamanan serta pemerintahan yang adil serta membela nasib kami dan bukan bersifat kuku besi."

Demikian luahan penduduk negara ini, Abu Munzir, 45, yang menyifatkan perjuangan mereka menentang regim Bashar Al-Assad sebagai menuntut pembebasan pemerintahan kuku besi.

Beliau yang juga seorang mujahidin menegaskan bahawa tindakan mereka bukan untuk memberontak, tetapi mahukan satu pemerintahan yang adil dan bukan bersifat penganiayaan.

Menceritakan semula pengalamannya sepanjang lebih sedekad konflik berdarah di negaranya itu, Abu Munzir menyatakan bahawa dia hampir terkorban pada pertempuran di sekitar perbatasan Idlib yang memisahkan antara wilayah seliaan Hay'at Tahrir Al-Syam (HTS) dengan tentera regim Bashar sekitar 2019.

Menjelaskan lanjut, Abu Munzir menyatakan bahawa bunker persembunyiannya dengan mujahidin lain dibom tentera regim sehingga mengakibatkan dia serta beberapa rakan lain cedera parah.

"Ketika kejadian itu, kami berlindung dalam bunker, dan saya terkena serpihan bom daripada serangan udara oleh tentera penyokong regim (Bashar Al-Assad).

"Sehingga kini, ada serpihan besi di bahagian dada kanan dan selepas melalui beberapa pembedahan, doktor menyatakan serpihan besi itu tidak membahayakan nyawa dan dibiarkan 'ditanam' di badan saya.

"Selain itu, saya turut cedera di kaki, perut dan dada ketika pertempuran berkenaan," katanya.

Menurutnya, ini adalah 'harga' yang perlu dibayar setiap rakyat Syria yang memilih untuk tinggal dalam negara dan terus berjuang.

Katanya, ramai dalam kalangan rakyat negara itu memilih untuk membina kehidupan baharu di negara sempadan seperti Turkiye atau negara lain berbanding terus tinggal di Syria.

"Ramai dalam kalangan kami yang menyatakan untuk membangunkan Syria semua adalah hampir mustahil, tetapi saya tidak akan meninggalkan tanah tumpah darah, tanah ini juga penuh dengan keberkatan.

"Saya memilih untuk kekal di Syria biarpun mungkin nanti nyawa menjadi taruhan kerana konflik berdarah negara masih berlarutan sejak 2013," katanya.

Ada ketakutan di wajah kanak-kanak Syria

Air mata rakyat negara ini terus mengalir biarpun mungkin media antarabangsa semakin kurang melaporkan penderitaan khususnya kanak-kanak.

Ada kanak-kanak yang menjadi cacat anggota badan akibat siri pengeboman yang tiada noktahnya, malah ramai dalam kalangan rakyat negara itu menjadi pelarian di Turkiye, Jerman dan beberapa negara lain.

Kanak-kanak paling terkesan dengan krisis ini dan mereka hidup dalam keadaan trauma tatkala mendengar bunyi enjin jet serta gegaran pengeboman.

SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak Syria di sekolah seliaan MCM.
SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak Syria di sekolah seliaan MCM.

Itu disaksikan sendiri oleh penulis ketika berada di Syria dan melihat sendiri wajah ketakutan anak-anak kecil ini tatkala tujuh serangan udara dilakukan tentera penyokong Bashar Al-Assad, minggu lalu.

Lebih 11 tahun konflik peperangan saudara di Syria, angka korban melebihi 500,000 manakala hampir tujuh juta rakyat negara ini hilang tempat tinggal.

Berdasarkan rekod semasa, hampir enam juta rakyat Syria menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di negara lain serta membina kehidupan baharu dan melupakan Syria.

Sepanjang penulis mengikuti misi kemanusiaan bersama sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM), tempoh 'pulih' untuk Syria umpama mustahil kerana kerosakan serta kemusnahan akibat perang saudara di negara itu begitu kritikal.

Sejak tercetusnya konflik berdarah pada 2013, negara ini mengalami ketidaktentuan daripada segi keselamatan dan landskap politik apabila menghadapi konflik yang terlalu rumit untuk diselesaikan.

Pada pemerhatian penulis, ada kuasa besar menjadikan Syria sebagai 'papan catur' untuk mereka mengukur kekuatan tidak kurang ada yang menyasar kekayaan hasil bumi negara berkenaan.

Syria pada ketika ini terpecah kepada beberapa wilayah iaitu Damsyik, Aleppo, Homs, Deir Az-Zor, Palmyra dan beberapa wilayah lain ditadbir oleh tentera regim Bashar Al-Assad atau sekutunya.

Manakala untuk wilayah Idlib, ia ditadbir Hay'at Tahrir Al-Syam (HTS) atau pasukan pemberontak kepada tentera regim dan lebih merumitkan, wilayah seperti Raqqa, Manbij, Jarablus dan beberapa kawasan lain adalah pemerintahan pasukan Kurdish.\

MCM sedia RM200k untuk makanan, sistem pendidikan

Sepanjang misi kemanusiaan Syria-Turkiye 5.0, Muslim Care Malaysia (MCM) memperuntukkan RM200,000 termasuk pengagihan pek makanan, penyediaan sistem pendidikan di kedua-dua negara serta projek jangka panjang yang lain.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, ia sebahagian usaha berterusan MCM menyantuni pelarian atau rakyat negara ini yang terkesan dengan konflik peperangan.

"Secara keseluruhannya, sepanjang 10 tahun MCM menyantuni golongan ini, kami sudah membelanjakan lebih RM15 juta untuk pelbagai misi kemanusiaan di dua negara ini.

"Untuk bantuan gempa bumi saja berjumlah RM1 juta sudah disalurkan dan kami turut memperuntukkan belanja yang besar untuk pendidikan.

SUKARELAWAN MCM merakam gambar kenangan di pintu masuk sekolah seliaan MCM.
SUKARELAWAN MCM merakam gambar kenangan di pintu masuk sekolah seliaan MCM.

"Bagi sekolah seliaan MCM di dua negara berkenaan, kami mengeluarkan perbelanjaraan hampir RM1 juta untuk setiap tahun membabitkan 1,270 pelajar bagi satu-satu masa dan 46 guru termasuk kos pengurusan yang lain.

"Secara anggaran kasarnya, sebulan dana yang diperlukan adalah RM70,000 untuk pendidikan saja kerana kami yakin dengan pendidikan ini mereka boleh menyumbang kembali apabila sudah berjaya kelak," katanya.

Zulkifli berkata, MCM sangat mementingkan pendidikan kerana apabila mereka berilmu serta mempunyai pekerjaan atau perniagaan di masa depan, mereka mampu menghulurkan bantuan kepada orang lain yang memerlukan.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukan transaksi menerusi akaun Maybank MCM 5644 9041 3882 atau melayari Facebook (FB) rasmi Muslim Care Malaysia Society.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 9:00 AM