SELAIN pendidikan percuma, anak pelarian turut menerima  bantuan makanan, pakaian dan alat bantuan belajar. FOTO AFP
SELAIN pendidikan percuma, anak pelarian turut menerima bantuan makanan, pakaian dan alat bantuan belajar. FOTO AFP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SEKATAN perjalanan ke luar negara susulan pandemik Covid-19, bukan halangan bagi rakyat Malaysia meneruskan bantuan terhadap pelarian Syria termasuk membuka sekolah untuk anak pelarian.

Ini dibuktikan apabila dana bantuan kewangan terus disalurkan tanpa henti oleh dermawan Malaysia yang prihatin terhadap isu kedaifan, kebuluran dan pendidikan bagi anak pelarian ini.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) atau MCM, Zulkifli Wahijan berkata, krisis kemanusiaan bermula pada 2011 membuka ruang untuk rakyat Malaysia membantu mangsa peperangan di Syria melalui MCM.

"Pada 2012, MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama dari Asia melancarkan misi bantuan dan kami menjadi NGO awal masuk ke Syria.

"Rentetan misi selanjutnya pada 2014, MCM berusaha membuka sekolah khusus untuk anak pelarian Syria di Rayhanli, Turki," katanya.

Menurutnya, pihak MCM kemudian membuka dua lagi sekolah bagi menampung kebanjiran pelarian di bandar sempadan itu pada 2015.

"Seterusnya pada 2016, MCM membuka dua lagi sekolah di Ariha Idlib, utara Syria.

"Pada tahun sama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) sebuah badan di bawah United Nations menganugerahkan MCM bangunan sekolah menengah. Ia berikutan prestasi MCM sangat baik dalam pendidikan untuk anak pelarian Syria," katanya.

KRISIS kemanusiaan bermula pada 2011 membuka ruang untuk rakyat Malaysia membantu mangsa peperangan di Syria melalui MCM.
KRISIS kemanusiaan bermula pada 2011 membuka ruang untuk rakyat Malaysia membantu mangsa peperangan di Syria melalui MCM.

Sementara itu, Exco MCM yang diamanahkan mengurus isu berkaitan Syria, Ustaz Muhammad Nazmi Abdul Karim berkata, lebih 20,000 pelajar dalam kalangan anak pelarian Syria mendapat pendidikan percuma di sekolah kelolaan MCM.

"Mereka bukan sekadar menerima pendidikan percuma, tetapi juga bantuan makanan, pakaian dan alat bantuan belajar. Sehingga kini MCM membelanjakan lebih RM5 juta dan memerlukan RM50,000 setiap bulan bagi membiayai operasi sekolah sedia ada di Syria dan bandar di sempadan Turki," katanya.

Menurutnya, semangat membantu anak malang itu berbaloi apabila seorang pelajar sekolah MCM di Battul Laban, yang juga orang kelainan upaya (OKU) menerima anugerah penuntut terbaik Universiti Artuklu, Mardin, Turki.

"MCM turut membantu rakyat Syria di Idlib dan Afrin dengan menyediakan khemah untuk penempatan pelarian bagi menghadapi musim sejuk. Terima kasih rakyat Malaysia atas sumbangan anda untuk menyediakan pendidikan anak pelarian Syria. Saya doakan Allah SWT memberi ganjaran," katanya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada Muslim Care Malaysia (MCM) melalui akaun Maybank 564490211159.

ZULKIFLI membantu pelarian Syria sejak  2012 hingga kini.
ZULKIFLI membantu pelarian Syria sejak 2012 hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:30 AM