BATRISH bersama adiknya Amer membawa bungkusan roti yang diberikan oleh kilang roti kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) dan AFAD di Jinderis, Syria
BATRISH bersama adiknya Amer membawa bungkusan roti yang diberikan oleh kilang roti kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) dan AFAD di Jinderis, Syria
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Idlib, Syria: "Tolong tuan, saya nak sekeping roti...saya dan adik lapar." Demikian rayuan dua kanak-kanak tatkala menghampiri penulis di sebuah kilang pembuatan roti di Bandar Jinderis kira-kira 40 kilometer (km) dari sini.

Untuk rekod, Jinderis adalah wilayah Syria yang ditadbir di bawah penguasaan Turkiye bersama-sama bandar Efrine yang berjarak kira-kira 10 km antara bandar ini.

Kedua-dua kanak-kanak itu memakai pakaian lusuh sambil tangan mereka menadah tangan memohon belas ihsan.

Penulis dapat melihat mata mereka berkaca seolah-olah mengharapkan sesuatu dan pastinya mahukan roti seperti yang diminta.

Ketika penulis bertanyakan usia mereka, kanak-kanak perempuan itu menjawab berusia 11 tahun, manakala adik lelakinya berusia tujuh tahun.

Kanak-kanak perempuan itu memperkenalkan diri sebagai Batrish manakala adiknya adalah Amer dan mereka tinggal di kawasan berhampiran bandar Jinderis bersama keluarganya.

Walaupun menghadapi masalah kekangan bahasa, penulis memahami serba-sedikit memahami apa yang diperkatakan hasil bantuan sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM).

Selepas beberapa ketika, penulis meminta sebungkus roti yang mengandungi 10 keping roti nipis untuk diberikan kepada kedua kanak-kanak berkenaan.

Ketika menerima bungkusan roti itu, penulis melihat sendiri wajah gembira Batrish dan adiknya sambil menadah tangan antara lain perkataan yang difahami oleh penulis adalah 'syukran Ya Allah' (terima kasih Ya Allah).

Hati penulis tersentak dengan tindakan spontan kanak-kanak itu yang begitu bersyukur biarpun hanya mendapatkan bungkusan roti.

Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kesusahan kehidupan mereka yang dihimpit dengan konflik peperangan selain kemiskinan.

Dua kanak-kanak itu berlalu pergi dengan meletakkan bungkusan roti itu di kepala mereka dan Batrish singgah di kenderaan sukarelawan MCM lalu melukis bentuk love pada debuan di atas permukaan kenderaan berkenaan.

Itu antara contoh satu suasana yang jarang dilihat di Malaysia, biarpun tidak dinafikan masih ada keluarga miskin di negara sendiri, namun tidak dihimpit dengan masalah konflik peperangan yang meragut nyawa.

PEKERJA kilang roti membungkus sebelum diagihkan.
PEKERJA kilang roti membungkus sebelum diagihkan.

Projek buka kilang roti santuni golongan susah

Melihat kepada keperluan untuk kelestarian projek jangka panjang, Muslim Care Malaysia (MCM) menjalinkan kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turkiye dengan membuka kilang roti.

Untuk rekod, kilang berkenaan mengeluarkan 2,400 keping roti sehari dan sudah beroperasi selama 10 tahun dengan 150,000 penerima manfaat projek berkenaan. Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya berhasrat untuk menggandakan jumlah pengeluaran kepada 4,800 sehari berikutan permintaan tinggi.

Menurutnya, kewujudan kilang roti berkenaan adalah antara projek jangka panjang MCM untuk menyantuni golongan memerlukan dan ia bukan saja menawarkan makanan, tetapi pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, MCM sentiasa memikirkan projek jangka panjang selain daripada pakej bantuan one-off seperti pengagihan pek makanan dan sebagainya.

"Kilang pembuatan roti ini sudah beroperasi sejak beberapa tahun yang lalu ketika tercetusnya konflik peperangan di Syria.

"Pada masa sama, projek jangka panjang yang dilaksanakan adalah penyediaan infrastruktur dan program pendidikan sama ada di negara ini (Syria) mahupun di Turkiye.

ZULKIFLI Wahijan menunjukkan bungkusan roti tertulis Muslim Care.
ZULKIFLI Wahijan menunjukkan bungkusan roti tertulis Muslim Care.

"Kita di MCM percaya bahawa hanya pendidikan mampu untuk membebaskan mereka daripada kemiskinan dan konflik dalaman sekali gus melahirkan generasi yang mampu memberi sumbangan kepada negara mereka semula," katanya.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukan transaksi menerusi akaun Maybank MCM 5644 9041 3882 atau melayari Facebook (FB) rasmi Muslim Care Malaysia Society.

Zulkifli berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MCM untuk menyediakan kemudahan pekerjaan serta pendidikan untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 8:00 AM