Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.©om.my

Kuala Lumpur: Tersentuh melihat keadaan anak pelarian Syria di kem pelarian Jordan hidup dalam serba kekurangan membuka hati Ahmad Taqiyuddin Muhamad, 20, berbakti kepada golongan itu menerusi pendidikan sejak dua tahun lalu.

Penuntut tahun dua Sarjana Muda Syariah Universiti Yarmouk, Jordan itu sanggup mengorbankan masa rehat selepas kuliah setiap hari dengan menawarkan diri sebagai tenaga pengajar kepada golongan terbabit secara sukarela.

Dia memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin selepas menyertai komuniti sukarelawan muda Teach For The Needs (TFTN) for Syria, Jordan pada penghujung 2016 dengan objektif utama meningkatkan tahap pembelajaran kanak-kanak Syria yang berlindung di kem pelarian Jordan.

Ahmad Taqiyuddin berkata, penubuhan TFTN for Syria susulan daripada idea Ketua Pegawai Eksekutif TFTN Malaysia, Muhammad Ishak Ahmad untuk menyediakan platform kelas tuisyen dan pusat aktiviti berfaedah buat kanak-kanak pelarian di bumi Jordan.

“Sekolah TFTN di Irbid bermula pada penghujung 2014 melalui hasil kerjasama antara TFTN dan Malaysian Arabian Cultural Society (MACS) bagi membantu anak-anak pelarian Syria.

“Saya hanya penyambung legasi kumpulan sukarelawan terdahulu.

“Perkara utama yang mendorong saya menyertai kerja sukarela ini kerana pengalaman berharga itu tidak mungkin diperoleh di tempat lain, jadi saya tidak kisah walaupun perlu mengorbankan sebahagian perkara yang saya suka buat contohnya keluar dengan rakan.

“Apa yang penting saya perlu bijak mengurus dan membahagikan masa sebagai penuntut universiti dan sukarelawan,” katanya.

AHMAD Taqiyuddin bersama rakan sukarelawan  anak pelarian Syria yg mengikuti program di sekolah TFTN di Irbid, Jordan.
AHMAD Taqiyuddin bersama rakan sukarelawan anak pelarian Syria yg mengikuti program di sekolah TFTN di Irbid, Jordan.

Menurut Pengurus TFTN for Syria, Jordan itu, program dikendalikan TFTN membantu meningkatkan tahap pembelajaran dan keyakinan kanak-kanak berkenaan yang kebanyakannya jauh ketinggalan dalam aspek pendidikan.

“Secara amnya, memang mereka pergi ke sekolah, tetapi sekolah diperuntukkan untuk Syria di sini tidaklah begitu baik. Apa yang menyedihkan ada antara anak-anak pelarian ini sudah belajar di tahun tiga atau empat tetapi membaca pun tak boleh lagi.

“Jadi melalui TFTN, kami menghidupkan sebuah tempat sebagai sekolah tambahan buat mereka membabitkan sesi pembelajaran selama sejam setiap petang.

“TFTN juga berperanan sebagai tempat anak-anak ini berkumpul membuat aktiviti berfaedah daripada membiarkan mereka bermain di tepi jalan kerana ada sebahagian daripadanya tidak berpeluang langsung ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, kaedah pembelajaran TFTN dibahagikan kepada dua peringkat mengikut tahap usia dan minat kanak-kanak yang dianggarkan seramai 70 orang.

“Sesi pembelajaran diagihkan kepada dua bahagian iaitu kelab dan tuisyen akademik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 11:11 AM