Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Kekurangan data dan tiada perkongsian maklumat berkaitan pelarian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyebabkan usaha menguruskan golongan itu sukar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelarian juga manusia biasa yang memerlukan perkhidmatan perubatan, pekerjaan dan pendidikan.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti jalan terbaik untuk menguruskan pelarian terbaik bermula dengan mendapatkan data lebih terperinci berkaitan demografi pelarian di Malaysia daripada UNHCR.

"Kita bercakap soal pelarian, macam Rohingya yang tinggalkan negara mereka kerana wujudnya keadaan kacau bilau nyawa dan akidah mereka.

"Mereka sudah berada sini, soalnya bagaimana prinsip atau dasar diambil kerajaan sekarang?" katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

DATUK Seri Saifuddin Nasution. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DATUK Seri Saifuddin Nasution. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Saifuddin berkata, perkongsian data daripada UNHCR penting dalam usaha mencari jalan terbaik menguruskan pelarian dalam negara sehingga dipindahkan ke negara ketiga.

Beliau berkata, berdasarkan data sedia ada seramai 14,000 pelarian ditahan di 19 depot seluruh negara.

"Buat masa ini kita tak ada data itu, yang ada pun tidak cukup. Kita tiada perkongsian kerana tidak tandatangan Konvensyen Pelarian 1951 jadi KDN perlu urus satu per satu.

"Jadi usaha untuk kumpulkan data ini perjumpaannya sudah dipersetujui pada mesyuarat Majlis Keselamatan 11 April lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 4:36 PM