WARGA Rohingya yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Selayang. FOTO arkib NSTP
WARGA Rohingya yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Selayang. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) kecewa dengan langkah pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu lambakan warga asing di negara ini yang dilihat tidak bersungguh dan dilakukan secara 'bermusim'.

Pengerusinya Datuk Seri Halim Ishak berkata, pihak terbabit bertindak apabila isu berkenaan timbul seolah-olah hanya mahu meredakan isu.

"Saban tahun ada saja isu warga asing tidak kiralah sama ada Rohingya, penjaja di Pasar Borong Kuala Lumpur, pekerja asing mahupun pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilaporkan namun tidak berkesudahan sehingga kini.

"Keadaan ini memberi imej buruk buat Malaysia sehingga pernah dilabel negara yang memperdagangkan warga asing. Ia memberi gambaran seolah-olah kita (negara) menghalalkan sistem hamba abdi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai lambakan penjaja warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dipercayai berlaku berikutan terdapat pihak tertentu melindungi warga asing selain isu ali baba.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Azmi Abdul Hamid tidak menafikan wujud isu ali baba membabitkan peniaga warga asing dan tempatan di pasar itu.

Beliau dilaporkan berkata, terdapat juga warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan sekali gus membolehkan mereka mendapat 'lesen besar' berniaga di negara ini.

Selain itu, jumlah pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat Mac lalu adalah 185,760 orang, meningkat dua kali ganda dalam tempoh 13 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian dengan UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu terhadap pelarian serta permohonan suaka di Malaysia.

Mengulas lanjut, Halim berkata, MCCF menggesa kerajaan mewujudkan pasukan siasatan khas (Special Task Force) disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani isu berkenaan.

Kata beliau, kemasukan warga asing sewajarnya diuruskan sepenuhnya oleh pihak kementerian dan menghapuskan sistem pihak ketiga termasuk agensi pekerjaan asing 'outsourcing' yang menjadi onar dalam membekal pekerja asing.

Katanya, penggunaan sistem secara dalam talian bagi setiap urusan membabitkan warga asing sepenuhnya akan dapat mengawal kemasukan, sekali gus mengekang aktiviti rasuah.

LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.

DPP kenal pasti jumlah sebenar pelarian

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengenal pasti jumlah sebenar pelarian dan pemohon suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, KDN menerusi Jabatan Imigresen (JIM) sudah diberi tanggungjawab oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan pendaftaran itu.

"Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 April lalu," katanya.

Beliau berkata, negara tidak mempunyai angka sebenar jumlah pelarian dan pemohon suaka UNCHR berikutan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.

"Oleh itu kita tidak ada perkongsian data dengan UNHCR walaupun mereka mengatakan 185,760 orang pelarian dan pemohon suaka yang tinggal di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga yakin JIM yang mempunyai pejabat seluruh negara dapat melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka itu.

"Imigresen juga mempunyai 19 depoh tahanan yang mana ia mungkin juga turut menempatkan pelarian dan pemohon suaka. Jadi kita akan mulakan," katanya.

Kata Saifuddin, Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) yang dilaksanakan sebelum ini hanya dapat mendaftarkan sekitar 30,000 pelarian.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa UNHCR menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

Kerajaan juga mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu dalam negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 9:58 AM