Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 12 Julai depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya perkara itu mendapat persetujuan dan perkenan Majlis Raja-Raja, cadangan pindaan itu kemudiannya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, ketika ini, sesi libat urus mengenai pindaan itu sudah berada di peringkat akhir.

"Kita sekarang sedang mempersiapkan cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung warganegara dan kita lakukan ini secara komprehensif.

"Bukan sahaja soal anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara dengan pasangannya bukan warganegara, tetapi (ia) juga adalah satu pindaan yang komprehensif mengandungi sekurang-kurangnya lapan cadangan pindaan," katanya ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

Beberapa ahli parlimen sebelum ini membangkitkan isu hal kewarganegaraan seperti kanak-kanak tanpa warganegara, Orang Asli yang tidak memiliki kad pengenalan, sijil kelahiran lewat, anak yang lahir di luar negara dengan ibunya adalah warganegara Malaysia, serta peraturan ibu tumpang.

Dalam sesi penggulungan itu, Saifuddin turut mengakui negara ini masih tidak mempunyai pangkalan data mengenai pelarian yang menyeluruh.

Bagaimanapun katanya, mengikut data Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR), terdapat 185,000 pelarian di negara ini.

Selain itu katanya, terdapat juga inisiatif daripada pihak swasta yang diberi kebenaran oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merekod jumlah pelarian tetapi hanya berkeupayaan sekitar 30,000 pelarian.

Beliau turut memaklumkan kerajaan mempunyai tiga polisi terkini berhubung pelarian iaitu pertamanya memudah cara dari segi peluang mereka mendapatkan pekerjaan di sini.

"Mereka manusia, mereka kena teruskan hidup. Kemudian (yang kedua), akses kepada pelajaran walaupun bukan sekolah kerajaan. Ketiga, akses kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:23 PM