Tun Dr Mahathir. FOTO arkib NSTP
Tun Dr Mahathir. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan yang didakwanya fitnah pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, notis tuntutan sudah diserahkan ke Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Beliau berkata, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

"Tuduhan dilempar terhadap diri saya iaitu saya ada berbilion ringgit dan agih untuk keluarga saya, anak saya dan sebagainya dan saya adalah seorang 'scoundrel'.

"Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia adalah satu fitnah melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.

"Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu biasa dengar dia kata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan Perdana Menteri, sekarang dia Perdana Menteri dan Perdana Menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab, tindakan undang-undang akan diambil.

"Ucapan itu juga dilapor media dan 'social' media dan nama saya diguna, jelas sekali ucapannya merupakan satu fitnah terhadap diri saya dan bukan orang lain, kerana sayalah orangnya yang berkuasa selama 22 tahun campur 22 bulan, jadi Perdana Menteri keempat dan ketujuh.

"Tujuannya untuk memburukkan nama saya dengan tuduhan tidak berasas, sebab itu saya minta untuk tarik balik dan tunjuk bukti," katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam satu kenyataan menuntut Anwar mengemukakan bukti kononnya beliau membolot kekayaan untuk diri dan keluarganya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan tanpa disertakan dengan bukti yang jelas tidak boleh diterima sebagai perkara benar selain ia adalah fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:40 PM