DR Mahathir (kanan) dan Anwar. FOTO Arkib NSTP
DR Mahathir (kanan) dan Anwar. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang yang sentiasa berbohong kerana sejak 25 tahun lalu menuduhnya seorang yang korup, terbabit salah guna kuasa, mengamalkan nepotisme dan kronisme serta memperkaya diri sendiri.

Bagaimanapun menurut bekas perdana menteri itu, apabila beliau meminta Anwar menunjukkan dokumen berhubung semua dakwaan berkenaan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu enggan memberikannya dengan menggunakan alasan yang remeh.

Dr Mahathir berkata, perdana menteri itu pada 7 April lalu, apabila ditanya wartawan berkenaan kenyataan fitnah terbabit, menyatakan dengan yakin akan menunjukkan bukti, tetapi apabila dipohon (dokumen) secara rasmi, pelbagai alasan pula dikeluarkannya.

"Sejak 1998, sehingga memfailkan pembelaannya, defendan (Anwar) tidak pernah menunjukkan sebarang bukti kononnya salah guna kuasa atau nepotisme, tetapi hanya pengulangan demi pengulangan skrip fitnah politiknya terhadap saya.

"Oleh itu, defendan (Anwar) secara langsung dan tidak langsung menunjukkan bahawa dia seorang yang banyak berbohong," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian hari ini dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Anwar dalam saman fitnah difailkan pada 3 Mei lalu bagi menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Anwar di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ia bertentangan dengan dakwaan Anwar mengenai langkah penyelamatan kerajaan terhadap KPB (kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd), iaitu sebuah syarikat yang diterajui anaknya, Mirzan sebagai pengarah dan pemegang saham majoriti.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, adalah tidak logik sama sekali untuk Anwar menepis sebarang dakwaan bahawa wujudnya sebarang salah guna kuasa ketika langkah penyelamatan itu berlaku dan kemudiannya kini memilih untuk menyatakan sebaliknya dalam pernyataan pembelaan beliau.

Dr Mahathir berkata, Anwar sendiri yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada Mac 1998 memberitahu media dan mempertahankan bahawa hakikatnya isu KPB-MISC bukan langkah penyelamatan tetapi ia keputusan yang berasaskan kepada 'keputusan perniagaan'.

"Oleh itu, berdasarkan daripada pendedahan ini, jelas menunjukkan Anwar mempunyai kecenderungan untuk sentiasa berbohong tanpa sebarang sebab dan alasan (pathalogical liar).

"Ini kerana defendan menyatakan pendirian yang berbeza dengan apa yang dinyatakan pada pembelaan hari ini. Perkara yang sama juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini membawa sebarang bukti untuk mempertahankan dakwaannya," katanya.

Menyentuh writ saman dan pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar ketika di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Beliau mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas perdana menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan 'berbilion-bilion', membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan bahawa kononnya beliau memfailkan saman itu untuk mewujudkan perpecahan kaum adalah satu tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, tindakan itu diambil kerana Anwar mengeluarkan kenyataan fitnah yang bukan sahaja tidak benar, malah menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan;

"Kenyataan bahawa kononnya saya baru sahaja bermula untuk membicarakan mengenai orang Melayu 'setelah hilang kuasa' adalah kenyataan yang memfitnah serta tidak benar.

"Tujuan saya membangkitkan isu mengenai orang Melayu ini bukanlah perkara baharu, kenyataan defendan jelas sekali adalah salah dan berunsur fitnah dengan tujuan untuk menjatuhkan imej saya.

"Sedangkan, isu Melayu dibangkitkan dengan lebih kuat oleh saya kebelakangan ini adalah demi menjaga kebajikan dan hak orang Melayu yang semakin diabaikan yang mana ia fakta yang diketahui umum," katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang salah guna kuasa tindakannya 'memperkayakan anak-anak' beliau, sebaliknya kesemua hasil perniagaan mereka adalah hasil daripada usaha dan merit syarikat yang dimiliki mereka.

Katanya, anaknya tidak sekali pun terhalang dari segi undang-undang untuk menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan sepanjang masa material berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dr Mahathir memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu, dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal, dengan menuntut ganti rugi RM150 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 12:42 PM