Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaan kononnya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Presiden PKR itu ternyata gemar membuat pelbagai dakwaan tanpa asas untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

"Apa bukti (PN dan BN berpakat). You don't just make allegation without basis (anda tidak boleh membuat dakwaan tanpa asas). PN kini bertanding secara nyata melawan BN.

"Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Ramli, Timbalan Presiden PKR).

"Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi bahawa PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.

Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu sudah membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing ketinggalan dalam persaingan, ketika hari mengundi semakin hampir.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan calon PN bagi Parlimen Pagoh turut mencabar Anwar untuk menunjukkan penyata kewangan partinya, selepas dia menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.

Muhyiddin berkata, Anwar sepatutnya menyatakan bukti bagi menyokong segala dakwaan yang dibuat.

"Apa bukti (PN parti politik terkaya). Kalau nak tunjuk bank akaun antara PH dan PN, saya boleh tunjukkan.

"Boleh tak Anwar tunjuk berapa akaun PH. Saya tahu sebenarnya. PN adalah parti baru yang tak ada banyak sumber dan kita bergantung pada mereka yang ingin membantu.

"Jadi saya cabar Anwar, jika dia tak dapat buktikan, dia adalah pembohong besar. Jadi buat apa nak percaya pada pembohong besar ini," katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini berikutan banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.

Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 7:55 PM