SHAH ALAM 07 APRIL 2023. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di UiTM Shah Alam. STR / FAIZ ANUAR
SHAH ALAM 07 APRIL 2023. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di UiTM Shah Alam. STR / FAIZ ANUAR
Muhammad Yusri Muzamir


Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya akan mengemukakan bukti bagi semua kenyataan berkaitan kekayaan membabitkan anak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia termasuk tuntutan meminta beliau memberi bukti kononnya Mahathir yang menerajui pentadbiran terdahulu, memperkayakan diri dan keluarganya.

"Saya tak mahu gaduh, diminta jawab saya jawab. Dia (Mahathir) minta bukti, saya akan bagi bukti, tak ada masalah," kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Beliau ditemui pada Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena lawatan rasminya ke institusi pengajian tinggi itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Dr Mahathir pada Selasa lalu dilapor setuju memberi masa lanjutan kepada Anwar untuk menjawab notis tuntutannya yang mahukan Presiden PKR itu menarik balik kenyataan, didakwa memfitnahnya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu yang mengemukakan notis tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac lalu menerusi Tetuan Rafique sebelum ini memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan berkenaan dibuat pada 18 Mac lalu.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) juga turut mengulangi kenyataannya bahawa banyak kerosakan berlaku ketika pentadbiran Mahathir, namun dalam masa sama tidak menafikan terdapat perkara baik diketengahkan bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

Anwar antara lain tidak bersetuju dengan tuduhan yang dilemparkan Mahathir, kononnya masyarakat Melayu sahaja yang pemalas dan mudah lupa, selain menjelaskan sikap sedemikian juga dapat dilihat pada kaum lain.

"Mengenai Tun Mahathir, jangan bimbang tak apalah, saya sudah cakap pentadbirannya ada baiknya juga tetapi masalah kerosakan diberikan banyak, sistemnya.

"Kalau bercakap soal Melayu ini malas, Melayu ini tak reti terima kasih, mudah lupa, semua negatif.. betul ke budaya Melayu begitu, tak betul.

"Bangsa mana tak ada yang malas, semua bangsa ada, bangsa mana yang mudah lupa semua bangsa ada lupa, tetapi Melayu telah melahirkan tokoh, pemikir dan sarjana besar, termasuk Cina, India, Dayak, Kadazan, tetapi jangan menghina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 5:42 PM