Saudara mara dan kenalan mengusung keranda untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid Nurul Ehsan Kubang Rotan, Alor Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Saudara mara dan kenalan mengusung keranda untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid Nurul Ehsan Kubang Rotan, Alor Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: "Arwah mengadu sakit dada kira-kira jam 3.30 pagi tadi, saya urut dada beliau. Namun tidak sangka beliau akan meninggal dunia dalam tidur," kata Datin Seri Syarifah Hamidah Syed Hamid, 73, isteri kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, 79.

Biarpun terkejut dengan pemergian Syed Razak kira-kira jam 11 pagi hari ini, Syarifah Hamidah reda dengan pemergian suaminya itu.

Menurutnya, arwah dimasukkan ke hospital tiga hari lalu sebelum dibenarkan pulang semalam.

"Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara malah dia dapat bangun sendiri ke bilik air selepas pulang dari hospital.

"Walaupun kurang sihat tapi beliau kuat semangat selepas kena strok 20 tahun lalu. Beliau boleh bersembang seperti biasa...

"Mujur lah anak-anak saudara ada menemani dan membantu saya menjaga Allahyarham, ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Amanjaya, Zon Anggerik di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya berkata pemergian Syed Razak adalah kehilangan besar buat rakyat negeri Kedah.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan, Kubang Rotan, Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 11:32 PM