Bekas Exco Agama, Hal ehwal masyarakat Siam, pelancongan Dan Warisan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Bekas Exco Agama, Hal ehwal masyarakat Siam, pelancongan Dan Warisan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pemergian tokoh sejarah Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof yang meninggal dunia petang semalam, disifatkan satu kehilangan besar yang sukar untuk dicari ganti.

Sumbangannya juga besar bukan sahaja kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah (PSMCK), tetapi seluruh Kedah kerana diibaratkan seperti ensiklopedia sejarah disebabkan arwah sangat meminati bidang itu.

Bekas Exco Sejarah dan Kebudayaan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, ketika hayatnya Allahyarham membuktikan kesungguhan dan minat mendalam dalam penyelidikan, artikel, jurnal dan buku berkaitan sejarah Kedah yang bernilai tinggi.

Menurutnya, selepas meninggalkan jawatan pengerusi PSMCK, beliau dilantik sebagai Penasihat PSMCK kerana memiliki pengetahuan tinggi mengenai sejarah negara khusus negeri Kedah.

"Banyak kenangan ketika saya memegang jawatan sebagai exco kerajaan negeri dan memegang portfolio sejarah dan kebudayaan, kita ada banyak program bersama dengan arwah.

"Banyak program berkaitan kajian kubur lama dan penemuan makam kesultanan di Kota Lama Kuala Kedah dan juga hubungan Kedah dengan Siam, malah pelbagai isu lagi... jadi saya cukup ebak dengan kehilangannya, " katanya ketika ditemui ketika menziarahi jenazah arwah di rumahnya di Jalan Pegawai, di sini, semalam.

Hadir sama, Mohd Asmirul Anuar Aris, yang juga bekas Exco Seni Budaya dan Perlancongan Kedah.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul berkata, beliau turut merasai kesedihan di atas pemergian Allahyarham kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan.

Katanya, kehilangan arwah memberi impak besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti pensejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini.

Allahyarham Dr Wan Shamsuddin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, akibat sakit tua pada 6 petang semalam .

Beliau yang juga Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kedah pernah dianugerahkan Tokoh Sejarawan Negara dan menjadi Felo PSM selain memegang jawatan sebagai Pengerusi PSM Kedah.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Latifah Hassan, 82, lima anak dan seorang anak angkat serta sembilan cucu.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ghuffran, Akar Peluru di Jalan Pegawai, di sini, selepas solat Zohor hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 1:00 PM