BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut kenyataan di Facebook Istana Negara, hari ini, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Syed Razak dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan para solihin," menurut kenyataan itu.

Allahyarham Syed Razak, 79, yang meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi semalam berikutan masalah kesihatan, adalah Menteri Besar Kedah kelapan dan mempunyai jasa yang besar kepada masyarakat dan negeri Kedah.

Allahyarham adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dan menjadi Menteri Besar Kedah bermula 1999 hingga 2005 sebelum meletak jawatan semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disebabkan masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:15 PM