Pemandangan udara keadaan aliran trafik semasa di Lebuhraya Karak menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur yang dipenuhi orang ramai menaiki kenderaan pulang dari kampung masing-masing. FOTO BERNAMA
Pemandangan udara keadaan aliran trafik semasa di Lebuhraya Karak menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur yang dipenuhi orang ramai menaiki kenderaan pulang dari kampung masing-masing. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik masih perlahan di beberapa laluan sekitar lebuh raya utama susulan orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Tahun Baru, hari ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 5 petang tadi mendapati beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak masih perlahan.

Di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, trafik perlahan dilaporkan di Perai ke Juru; Ipoh Selatan ke Layby Simpang Pulai; Gopeng ke Tapah; Ladyby Ladang Bikam ke Sungkai; Bukit Beruntung ke Suntai Buaya dan Sungai Bakap ke Bandar Cassia.

Selain itu, aliran trafik juga perlahan di Kempas ke Pasir Gudang.

Di arah utara pula, trafik perlahan dari Pasir Gudang ke Dato Onn; Simpang Ampat ke Pedas Linggi terus ke Seremban; Bandar Ainsdale ke kawasan rehat dan rawat (RNR) Seremban serta Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.

Sementara itu, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pula, trafik dilaporkan perlahan di Hentian Gombak ke Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi.

Terdapat beberapa kemalangan turut dilaporkan di Kilometer (KM) 431.1 arah selatan dari Bukit Beruntung ke Sungai Buaya dan di KM 154.6 arah utara di Bandar Cassia ke Juru Ampat ke Pedas Linggi.

Hanya lorong kecemasan terhalang dan trafik perlahan dilaporkan di kedua-dua lokasi kemalangan berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 6:44 PM