ALIRAN trafik ke pusat bandar bertambah susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota setelah cuti Aidilfitri berakhir, ketika tinjauan  di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Jejantas Sungai Buloh Arah Selatan hari ini. FOTO Bernama
ALIRAN trafik ke pusat bandar bertambah susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota setelah cuti Aidilfitri berakhir, ketika tinjauan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Jejantas Sungai Buloh Arah Selatan hari ini. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik menghala ke ibu dilaporkan masih perlahan dan sesak di beberapa laluan di lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan, hari ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi aplikasi X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 9 malam mendapati trafik di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan perlahan, manakala trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pula sesak.

Di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Bandar Cassia ke Jawi; Bandar Baharu ke Alor Pongsu; Bukit Merah ke Taiping (Utara); Gopeng ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah; Bidor ke Sungkai; Behrang ke Bukit Tagar dan Bukit Beruntung ke Rawang dengan cuaca hujan dilaporkan di beberapa lokasi terbabit.

Trafik juga perlahan dari Hentian Sebelah Hutan Kampung ke Plaza Tol Hutan Kampung; Pendang ke Gurun; Gurun ke Sungai Petani (Utara); Sungai Petani (Selatan) ke Hentian Sebelah Tikam Batu dan Sungai Dua ke Seberang Jaya.

Di arah Utara lebuh raya sama, trafik perlahan dilaporkan dari Tangkak ke Jasin; Simpang Ampat ke Layby Pedas Linggi; Pedas Linggi ke Seremban; R&R Seremban ke Nilai dan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dengan cuaca hujan dilaporkan di beberapa lokasi terbabit.

Sementara itu, di LPT1 sehingga ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik sesak dilaporkan di Persimpangan Lanchang ke Karak; Karak ke Lentang dan Bukit Tinggi ke Genting Sempah dengan cuaca hujan dilaporkan di beberapa kawasan terbabit.

Terdapat kemalangan dilaporkan di Lebuhraya Utara Selatan di Kilometer (KM) 281.4 arah Utara dari Bandar Baru Nilai ke Putra Mahkota dengan tiada lorong terhalang dan trafik dilaporkan perlahan di lokasi.

Selain itu, terdapat juga kemalangan di lebuh raya sama di KM 49.4 arah Selatan dari Simpang Renggam ke Sedenak, namun tiada lorong terhalang dan trafik perlahan di lokasi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 9:27 PM