HIASAN menarik  Bilik Operasi SPBT  SMK Kulai Besar menarik perhatian warga maya.  FOTO  FACEBOOK SHAHRIZAL SHA'ARI
HIASAN menarik Bilik Operasi SPBT SMK Kulai Besar menarik perhatian warga maya. FOTO FACEBOOK SHAHRIZAL SHA'ARI
Noor Hidayah Tanzizi


Kulai: Sekali pandang bilik ini kelihatan seperti ruang rehat, namun sebenarnya ia adalah Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) atau Bilik B.O.S.S di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar, di sini, yang dihias indah enam guru sekolah berkenaan.

Beberapa gambar bilik itu juga tular di Facebook dan mendapat perhatian warganet yang memuji usaha guru-guru berkenaan menghiasnya seolah-olah suasana seperti di rumah.

Guru Bahasa Inggeris, Shahrizal Sha'ari, 35, berkata mereka mula menghias bilik berkenaan pada Julai lalu dan mengambil masa hampir empat bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Menurutnya, usaha itu dilakukan bersama guru lain iaitu Siti Hajar Nordin, Norashikin Ilias, Fuad Rahim, Mohd Faizal Ab Rahman dan K Kokelavani atas saranan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Nor Intan Mohamad yang mahu melihat bilik berkenaan dihias.

"Kerja menghias dimulakan penjaga bilik itu, cikgu Siti Hajar yang mengecat rak dan memasang pelekat jubin sebelum dibantu guru lain yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli kelab SPBT.

"Saya kemudiannya membantu memberi idea, melakar dan menghias bilik itu untuk penyertaan dalam pertandingan anugerah BOSS peringkat negeri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, bilik itu dihias dengan tema 'modern living-feels like home' untuk suasana kondusif dan tenang dengan memperuntukkan RM5,000 hasil tabungan beberapa tahun dan sumbangan AJK SPBT sendiri.

"Warga sekolah terutama pelajar sangat teruja dengan perubahan bilik ini. Apa yang dilakukan ini boleh digunakan dalam tempoh lama dan pada kami ia berbaloi.

"Bilik SPBT juga perlu dihias cantik dan menarik dengan suasana kondusif supaya ia dapat memberi mood positif serta perasaan gembira apabila berada di sekolah terutama bagi warga sekolah dan ibu bapa yang datang melawat.

"Bilik guru yang dihias cantik juga boleh menjadi terapi dalam mengurangkan tekanan termasuk beban kerja yang semakin mencabar," katanya.

Berhubung hantarannya yang tular, Shahrizal berkata, dia pada mulanya tidak menyangka bilik SPBT itu mendapat perhatian warganet kerana niatnya hanya mahu berkongsi idea bermanfaat dan usaha mereka sahaja.

"Saya juga mahu mengalakkan guru-gutu lain untuk menghias kelas atau bilik khas di sekolah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 7:01 AM