Keadaan asal kuarters (gambar kiri) di Daro dekat Mukah dan hasil selepas didekorasi oleh Muhamad Tarmizi. Foto Ihsan Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob
Keadaan asal kuarters (gambar kiri) di Daro dekat Mukah dan hasil selepas didekorasi oleh Muhamad Tarmizi. Foto Ihsan Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob
Redzuan Muharam

Mukah: Bagi menaikkan semangatnya yang mengajar di sebuah sekolah di pedalaman, Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob menggunakan kreativitinya untuk menghias ruang bilik tidur dan halaman kuarters usang tempatnya menetap.

Hasilnya, ruang dihias itu berubah 'wajah' menjadi menarik malah dekorasinya dalamannya kelihatan seperti berada di dalam pangsapuri.

Muhamad Tarmizi, 36, yang mengajar subjek Pendidikan Islam dan bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kut di Daro dekat sini, berkata, dekorasi itu dilakukannya sendiri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Dia mengambil masa beberapa bulan untuk melakukan dekorasi dan semua kelengkapan seperti kertas dinding, rak serta lampu dibelinya di platform dalam talian dengan peruntukan sebanyak RM500.

"Saya dipindahkan ke sini pada 2018 dan keadaan kuarters pada awalnya agak usang dan kosong tanpa kelengkapan serta hanya ada langsir saja.

"Ketika tempoh PKP lalu, datang idea untuk menghias bilik tidur yang inginkan ruang rehat lebih cantik serta tenang.

"Lagipun, ada ketikanya murid saya akan datang belajar di sini (bilik) jadi ruang bilik yang cantik dan lengkap dengan penghawa dingin boleh beri mereka keselesaan dan merasai suasana seperti berada dalam hotel," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hasil tanaman di kebun mini Muhamad Tarmizi di kuartersnya. Foto Ihsan Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob
Hasil tanaman di kebun mini Muhamad Tarmizi di kuartersnya. Foto Ihsan Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob

Selain ruang bilik tidur, Muhamad Tarmizi turut memanfaatkan ruang yang ada di halaman rumah dengan menanam sayur-sayuran.

Menurut Muhamad Tarmizi, sebahagian hasil tanaman itu adalah untuk kegunaan sendiri dan ada juga diberi kepada muridnya.

"Kebetulan, ada ruang kosong dekat halaman rumah jadi saya manfaatkannya dengan wujudkan kebun mini.

"Antara yang ditanam adalah kubis dan sawi, malah saya ada juga pelihara empat ekor arnab bagi menceriakan suasana.

"Sekurang-kurangnya, aktiviti menghias bilik dan bercucuk tanam itu dapat mengisi masa terluang saya di sini terutama selepas waktu mengajar serta hari cuti," katanya yang mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada ibu, Mek Meriam Mustapha, 72, dan bapanya, Awang@Yaacob Dollah, 76, sejak berkhidmat sebagai pendidik, lima tahun lalu.

Muhamd Tarmizi berkata, niatnya berkongsi gambar sebelum dan selepas siap dekorasi sekadar untuk beri inspirasi kepada guru lain atau sesiapa yang melihatnya.

"Sebenarnya, saya memang suka mengemas dan menghias cuma terikat dengan tugasan harian jadi sebab itu mengambil masa untuk siapkannya (dekorasi).

"Alhamdulillah, rata-rata netizen beri komen positif selepas perkongsian saya tular di laman sosial.

"Apa dilakukannya ini buat saya lebih bersemangat untuk mengajar dan tinggal di sini walaupun pada awalnya dulu agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup di sini," katanya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan dan sebelum ini mengajar di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Bangi, Selangor dan SK Kampong Bruit, Daro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 8:00 PM