NAFAS baharu bilik kaunseling dengan kombinasi warna dan dekorasi menarik.
NAFAS baharu bilik kaunseling dengan kombinasi warna dan dekorasi menarik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Selesa dan menenangkan fikiran.

Siapa sahaja yang melihat dekorasi bilik kaunseling sekolah ini pasti tertawan dengan kombinasi warna dan dekorasi yang ditampilkan.

Sebelum ini, bilik gerakan Sekolah Kebangsaan (SK) Rambong Pulai, Kupang, Kedah itu kelihatan biasa sahaja namun sekarang menjadi sebutan ramai selepas diberi nafas baharu oleh seorang tenaga pengajarnya untuk dijadikan sebagai bilik kaunseling.

Semua itu hasil inisiatif dan kreativiti Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab merangkap Guru Bimbingan dan Kaunseling (lantikan sekolah), Naimah Md Ludin yang meluangkan masa menghiasi bilik berkenaan supaya lebih selesa digunakan murid.

TENANG dan selesa bilik kaunseling dan bilik operasi PRS SK Rambong Pulai.
TENANG dan selesa bilik kaunseling dan bilik operasi PRS SK Rambong Pulai.

Naimah berkata, bilik gerakan terbabit sebelum ini digunakan sebagai bilik mesyuarat sekolah itu namun selepas pengubahsuaian ia dipindahkan ke bilik lain.

Kata Naimah, daripada membiarkan bilik gerakan itu tidak dimanfaatkan, dia meminta keizinan daripada Guru Besar, Mahali Mahat untuk menjadikannya sebagai bilik kaunseling dan bilik operasi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) "Selepas diberi

kebenaran pada hujung tahun lalu, saya mula melakukan kerja menghiasi bilik berkenaan dengan bantuan kakitangan sekolah yang lain serta suami.

"Fasa pertama, keseluruhan bilik itu dicat baharu dengan rona kelabu lembut bagi menggantikan warna asalnya iaitu hijau pucuk pisang dan penambahan 'wainscotting' untuk menyerikan lagi dekorasi.

"Bilik itu turut dihiasi dengan tikar getah, langsir, meja guru dan meja murid baharu manakala pada fasa kedua iaitu pada Julai lalu, baru perabot lain seperti sofa, meja kopi dan rak televisyen dimasukkan.

"Kos semuanya hanya RM2,300, tetapi hasil yang diperoleh lebih bernilai daripada itu," katanya.

Menurut Naimah, sekolah berkenaan terletak di kawasan luar bandar dan jumlah keseluruhan murid hanya 75 orang.

Namun, ia tidak menghalang Naimah untuk menampilkan idea tersendiri bagi menarik perhatian murid.

"Selain sebagai bilik kaunseling dan bilik operasi PRS, ia turut digunakan sebagai kelas untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP).

PELAJAR SK Rambong Pulai seronok menjalani sesi P&P di bilik berkenaan.
PELAJAR SK Rambong Pulai seronok menjalani sesi P&P di bilik berkenaan.

"Ramai murid suka datang ke bilik ini sama ada untuk belajar mahu pun bersantai kerana tertarik dengan dekorasinya yang selesa dan tenang.

"Bagi saya, suasana tempat pembelajaran antara faktor yang dapat mempengaruhi 'mood' pelajar dan peluang itu secara tidak langsung turut digunakan untuk memberi bimbingan kepada mereka yang mempunyai masalah disiplin serta sebagainya," katanya.

KAKITANGAN sekolah dan suami Naimah turut membantu menghiasi bilik kaunseling terbabit.
KAKITANGAN sekolah dan suami Naimah turut membantu menghiasi bilik kaunseling terbabit.

Dalam pada itu, bagi memastikan bilik berkenaan kekal bersih dan terjaga, Naimah turut membuat jadual tugasan membabitkan enam murid yang juga PRS sekolah berkenaan.

Katanya, enam murid itu akan membantunya dan bergilir mengemas bilik berkenaan setiap hari.

"Bilik ini sekarang menjadi tumpuan murid dan ramai yang ingin masuk meskipun tiada urusan.

"Ada yang suka bertanya mengenai barangan hiasan yang digunakan dan ada yang datang semata-mata mahu merasai suasana yang berlainan daripada kelas biasa.

PERABOT moden yang menghiasi bilik kaunseling.
PERABOT moden yang menghiasi bilik kaunseling.

"Apapun alasan yang diberikan, kami tidak menghalang murid untuk menikmati kemudahan disediakan sekolah," katanya.

Sementara itu, keindahan dekorasi bilik berkenaan turut menjadikan sekolah terbabit sebagai rujukan beberapa pihak di Baling.

BILIK berkenaan sebelum diubahsuai dan didekorasi.
BILIK berkenaan sebelum diubahsuai dan didekorasi.

Mereka tertarik dengan inisiatif dilakukan Naimah dan kakitangan sekolah itu dalam mengubahsuai bilik gerakan biasa menjadi ruang menarik untuk murid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 7:00 AM