ORANG ramai beratur panjang untuk mengundi PRU 13 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Kota Damansara. FOTO Mokhsin Abidin
ORANG ramai beratur panjang untuk mengundi PRU 13 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Kota Damansara. FOTO Mokhsin Abidin
Amir Hamzah Nordin


KONGRES Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (KONGRES) meminta Kementerian Pendidikan membenarkan sekolah mengambil cuti berganti sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan.

Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad berkata, pihaknya memohon kemudahan itu diberikan kepada guru yang akan bertugas sebagai petugas pilihan raya dan sekolah digunakan sebagai pusat pengundian.

Katanya, kira-kira 6,000 sekolah dijangka terbabit dan proses pengosongan perlu dilakukan satu hari awal sebelum pengundian untuk melakukan persediaan seperti penyusunan meja mengikut prosedur sudah ditetapkan.

"Selain itu, guru dilantik sebagai pegawai dan petugas juga bertugas satu hari lebih awal untuk meninjau dan mengemas bilik darjah atau dewan digunakan pusat mengundi, malah ada di antaranya bertugas sehingga tengah malam di pusat penjumlahan undi pada 9 Mei depan.

"Bilik darjah atau dewan digunakan perlu dikemas untuk sesi persekolahan pada keesokan harinya, ia mengambil masa dan wajar sekiranya Kementerian Pendidikan membenarkan sekolah mengambil cuti berganti," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berkata, pihak pengurusan sekolah sudah dimaklumkan ada guru akan mengambil Cuti Rehat Khas (CRK) untuk pulang bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Sekiranya cuti berganti tidak diberi, pihak pengurusan sekolah akan menghadapi masalah ketiadaan guru dan bilik darjah belum berkemas yang akan menjejaskan pembelajaran.

"Sehubungan itu, kita memohon jasa baik Kementerian Pendidikan untuk memberi cuti berganti bagi melancarkan perjalanan sesi persekolahan dan keselesaan termasuk sekolah yang berasrama kerana guru bertugas sebagai warden asrama juga akan bercuti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 11:09 AM