KELAS 3 Marikh dihias menjadi seakan kafe hipster yang selesa dan kondusif untuk pembelajaran murid SK Methodist ACS Kampar. FOTO Ihsan Mohd Irfan Mustaqim.
KELAS 3 Marikh dihias menjadi seakan kafe hipster yang selesa dan kondusif untuk pembelajaran murid SK Methodist ACS Kampar. FOTO Ihsan Mohd Irfan Mustaqim.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: Usia bangunan yang menjangkau 120 tahun dan berlantai kayu tidak menghalang seorang guru di daerah ini untuk menghias bilik darjah, demi keselesaan muridnya.

Bahkan, guru Pendidikan Seri Visual (PSV), Mohd Irfan Mustaqim Ariffin, 31, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist ACS Kampar di sini, menghias kelas 3 Marikh seakan kafe 'hipster'.

Katanya, beliau menggunakan bahan kitar semula dan hiasan sampingan yang dibeli di kedai RM2 untuk mencantikkan bilik darjah itu supaya tampak kondusif.

"Idea menghias bilik darjah tercetus tidak sekadar untuk menyertai pertandingan kelas tercantik sempena sambutan Bulan Kebangsaan, malah lebih daripada itu kerana mahu wujudkan persekitaran pembelajaran kondusif.

"Kelas yang selesa dan menarik akan menyuntik semangat positif murid untuk hadir ke sekolah serta gembira belajar," katanya ketika dihubungi.

Mohd Irfan Mustaqim berkata, usahanya mendapat kerjasama pelbagai pihak khususnya murid dan ibu bapa mereka, warga dan pentadbir sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Akhirnya angan-angan saya hendak buat kelas 'hipster' menjadi kenyataan. Perabot yang ada pun saya cari kerusi, meja lama milik sekolah yang sudah rosak.

"Saya baiki dan cat semula agar nampak baharu. Ada ibu bapa yang sumbang permaidani selain pamer hiasan seni buatan sendiri dan lukisan.

"(Dalam kelas) ada diwujudkan sudut meja kopi, sudut bacaan, sudut ganjaran serta permainan, selain sudut info mengenai Perdana Menteri, kemerdekaan negara dan pameran ketenteraan," katanya.

Selain menghias kelas itu, Mohd Irfan Mustaqim turut diberi kepercayaan untuk melukis mural di dinding bangunan sekolah yang menggambarkan identiti daerah dan negeri, antaranya labu sayong dan Kellie's Castle.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 11:16 PM