PASTIKAN perabot yang praktikal untuk anak.
PASTIKAN perabot yang praktikal untuk anak.
Muhamaad Razis Ismail


Kajian mendapati kecerdasan kanak-kanak terbentuk sejak kecil berdasarkan persekitaran hidup mereka iaitu kasih sayang ibu bapa, keperluan asas yang mencukupi dan juga kesejahteraan ruang di mana mereka membesar.

Ini adalah termasuk bilik tidur anak yang menjadi ruang rehat, belajar dan bermain.

Pensyarah Pusat Pengajian Senibina Dalaman, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, Syazwani Abdul Kadir berkata, ibu bapa pada zaman ini perlu lebih menitik beratkan kesejahteraan mental dan emosi anak yang sedang membesar.

"Ini sangat berkesan dipupuk melalui hiasan bilik anak yang menjamin keselesaan dan keselamatan mereka, di samping tidak mengongkong daya fikir kritis generasi masa kini.

"Dengan mental dan emosi yang baik, kanak-kanak akan lebih cenderung dan bersemangat untuk menerokai dunia serta mempelajari perkara baru dalam kehidupan seharian," katanya.

Katanya, dalam menghias bilik anak, antara aspek reka bentuk yang penting ialah ergonomik, keselamatan dan keceriaan.

"Aspek ergonomik terutamanya perlu dititik beratkan kerana perabot bagi kanak-kanak mempunyai ukuran standard yang lain daripada standard orang dewasa. Ini penting dalam memastikan perabot yang disediakan adalah praktikal untuk digunakan kanak-kanak.

"Aspek keselamatan seperti bucu perabot yang tidak tajam dan bahan kemasan yang tidak terlalu keras dan kasar juga menyumbang dalam reka bentuk ruang yang terbaik untuk bilik anak.

"Selain itu, bilik anak juga perlulah kelihatan ceria bagi mendorong daya fikir kreatif dan kecerdasan otak mereka sejak kecil," katanya.

Beliau berkata, sikap memandang enteng terhadap aspek keselamatan adalah perkara yang perlu dielakkan dalam menghias bilik anak.

SEDIAKAN ruang penyimpanan mencukupi.
SEDIAKAN ruang penyimpanan mencukupi.

"Antara elemen yang sering terlepas pandang adalah soket elektrik yang terdedah dan berbahaya bagi kanak-kanak.

"Pintu juga perlu direka dengan 'anti-lock' supaya anak tidak terkunci dari dalam bilik ketika berseorangan," katanya.

Menurutnya, susun atur di dalam bilik anak juga memainkan peranan penting supaya ia dapat memenuhi keperluan rehat, belajar dan bermain mereka.

"Perabot dan aksesori ruang tidak perlu banyak supaya anak boleh fokus kepada satu-satu elemen dalam ruang bilik.

"Bilik anak juga perlu mempunyai ruang penyimpanan yang banyak supaya barang permainan mudah disimpan dengan kemas, dan secara tidak langsung, memupuk nilai kebersihan dalam diri anak," katanya.

Mengulas lanjut, dari segi psikologi warna, bilik anak sesuai dihias dengan warna lembut atau natural.

WARNA yang menenangkan dapat mempengaruhi emosi anak.
WARNA yang menenangkan dapat mempengaruhi emosi anak.

"Warna-warna yang menenangkan adalah penting bagi mengelakkan 'over simulation' dan kebimbangan dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar," katanya.

Tambahnya, pemilihan tema bagi hiasan bilik anak boleh dibuat berdasarkan minat anak itu di samping memenuhi keselesaan ruang.

"Ini adalah salah satu cara ibu bapa menunjukkan sokongan kepada minat anak, dengan itu meyakinkan psikologi anak mengenai sokongan ibu bapa dalam hidup mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 6:30 AM