MURID ceria ke sekolah dengan suasana kelas yang selesa.
MURID ceria ke sekolah dengan suasana kelas yang selesa.
Suliati Asri


PERSEKITARAN yang kondusif sememangnya penting dan memberi impak positif dalam pembelajaran khususnya kelas selesa dan menarik.

Bukan itu saja, ia juga mampu menyuntik semangat murid untuk kembali ke sekolah yang semakin berkurangan berikutan terlalu lama duduk di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi menarik minat dan semangat murid kelas jagaannya kembali ke sekolah, guru kelas 4 Zamrud Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2, Tumpat, Kelantan, Syahril Faiza Zakaria, 46, mengambil inisiatif mencantikkan bilik darjah jagaannya.

Idea menghias kelas itu tercetus selepas PKP kerana ketika itu, keadaan kelas berhabuk, tidak selesa dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, disebabkan terlalu lama berada di rumah, murid kurang minat untuk kembali ke sekolah selain kurang bersemangat mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah.

"Jadi, saya menghias dan menyusun atur kelas dengan suasana seperti di rumah yang penuh dengan keselesaan.

"Saya juga mewujudkan sudut ikan laga dan sudut anak patung serta menggantungkan gambar mereka di dinding supaya anak murid saya itu merasa selesa seperti berada di rumah.

SUASANA kelas yang lebih tenang memberikan keselesaaan bukan saja kepada murid tetapi juga guru yang mengajar.
SUASANA kelas yang lebih tenang memberikan keselesaaan bukan saja kepada murid tetapi juga guru yang mengajar.

MURID bergambar bersama ikan laga yang menjadi tanggungjawab mereka.
MURID bergambar bersama ikan laga yang menjadi tanggungjawab mereka.

"Sejak itu, mereka mula minat untuk ke sekolah. Selain itu, mereka yang kebanyakannya hiperaktif juga sudah boleh menjaga tingkah laku, lebih prihatin dan sentiasa beringat untuk memastikan bilik darjah sentiasa dalam keadaan bersih.

"Hikmahnya, SOP juga secara tidak langsung dapat dilaksanakan dengan baik," katanya yang menggunakan modal sendiri untuk mengubah suai kelas jagaannya itu.

Katanya, anak muridnya juga lebih rajin berbanding sebelumnya dan sesuatu yang membuat dia kagum adalah minat terhadap pelajaran semakin meningkat.

"Jika tidak hadir, mereka akan bertanya mengenai pelajaran yang tertinggal bukan saja kepada rakan tetapi juga guru-guru yang mengajar. Berbanding sebelum ini, mereka bagaikan tidak kisah dengan pembelajaran.

"Mereka juga kini lebih bertanggungjawab terutama dalam menjaga ikan laga dan disiplin juga meningkat. Perubahan terhadap kelakuan mereka ini berlaku secara automatik kerana mereka merasa disayangi," katanya yang cukup gembira dengan perubahan positif anak muridnya itu.

Malah guru mengakui keadaan yang serabut di dalam bilik darjah bukan saja membuatkan murid tidak selesa tetapi juga guru yang mengajar.

"Keadaan kelas yang tidak teratur, serabut dan terlalu banyak hiasan sebenarnya turut mempengaruhi mood guru yang mengajar.

"Jadi, saya mengambil pendekatan dengan memilih konsep minimalis supaya kelas tidak kelihatan serabut tapi lebih tenang.

"Dengan itu, guru-guru yang mengajar anak murid 4 Zamrud ini lebih tenang dan proses pembelajaran lebih baik serta berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Datuk Dr Norazah Mohd Nordin berkata, persekitaran kondusif dan susun atur dalam kelas pembelajaran sememangnya turut memberi impak kepada minat pelajar tetapi perlu mengikut kepada kesesuaian murid dan sekolah.

Katanya, guru sebenarnya adalah 'pereka bentuk pelajaran' yang mana mereka boleh menyesuaikan persekitaran dan susun atur kelas mengikut kepada kesesuaian muridnya.

"Jika murid cenderung untuk tidak datang ke sekolah, pencapaian yang harus menjadi target guru adalah memastikan kehadiran murid 100 peratus.

SUDUT ikan laga untuk murid lelaki.
SUDUT ikan laga untuk murid lelaki.

MURID perempuan berehat di sudut anak patung.
MURID perempuan berehat di sudut anak patung.

"Jadi, guru boleh melakukan pelbagai cara bukan saja dengan susun atur dalam bilik darjah tetapi juga mewujudkan suasana yang lebih selesa serta pembelajaran lebih interaktif.

"Bagi kelas tinggi misalnya, persekitarannya berlainan dan suasana yang lebih tenang ditambah dengan bantuan pembelajaran seperti buku dan teknologi menjadi pilihan," katanya.

Oleh itu, tambah Dr Norazah satu cara tidak boleh menepati semua keperluan murid yang berbeza-beza.

Mengulas mengenai langkah yang diambil Cikgu Syahril Faiza, Dr Norazah berkata, ia adalah pendekatan yang sangat baik terutama dalam menggalakkan murid hadir ke sekolah selepas duduk lama di rumah.

Menurutnya, dia melihat pandemik Covid-19 ini mempunyai impak positif dalam pendidikan kerana menjadikan guru-guru lebih kreatif dan inovatif.

"Apabila muridnya tidak mahu ke sekolah, mereka akan tertinggal silibus pembelajaran. Jadi, guru mencari pelbagai cara untuk menarik minat pelajar sekali gus mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

"Mewujudkan sudut ikan laga juga misalnya, secara tidak langsung ia mendedahkan murid dengan subjek sains yang mudah untuk difahami kerana ia adalah pembelajaran berasaskan pengalaman," katanya.

Katanya, ketika dan selepas PKP ini, dia melihat guru lebih kreatif dan mencari pelbagai cara untuk menarik minat pelajar sekali gus mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

"Selain itu, jika sebelum ini media sosial dilihat banyak memberi kesan tidak baik, kini ia dijadikan platform yang membantu dalam pendidikan.

"Guru juga lebih kreatif dengan mencari bahan pembelajaran termasuk video pendidikan yang boleh digunakan dalam meningkatkan pemahaman murid.

"Inilah cara pembelajaran dan ini adalah ciri pembelajaran futuristik," katanya.

Tambah Dr Norazah, sudah tiba masanya pihak sekolah lebih inovatif dalam reka bentuk ruang pembelajaran 'learning space'.

Ini kerana susun atur dalam kelas adalah elemen penting yang bukan saja menarik minat murid untuk datang ke sekolah tetapi proses pembelajaran lebih menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 7:00 AM