KEADAAN Kampung Iboi dan Padang Empang penuh dengan sampah sarap dan kayu selepas dilanda banjir dan tragedi banjir puing. FOTO Safuri Kamarudin
KEADAAN Kampung Iboi dan Padang Empang penuh dengan sampah sarap dan kayu selepas dilanda banjir dan tragedi banjir puing. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Baling: Penduduk Kampung Iboi dan Padang Empang, Kupang serta kampung berdekatan yang dilanda banjir puing meminta kerajaan baharu yang mentadbir negara terus membantu selesaikan masalah banjir di kawasan itu.

Penduduk mendakwa, mereka hidup tidak aman lagi selepas kejadian banjir dan sukar mencari rezeki kerana banyak harta benda yang rosak termasuk pertanian dan penternakan musnah.

Seorang penduduk, Abdul Malik Arshad, 59, berkata kerajaan yang dipilih mesti mendengar suara rakyat di sini yang sebenarnya masih trauma susulan peristiwa sedih menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda itu.

"Kebanyakan penduduk hidup tidak selesa lagi kerana penempatan kami dilanda banjir setiap kali hujan lebat dan telah dilanda 10 kali dalam tempoh empat bulan," katanya.

Abdul Malik berkata, kerajaan sudah meluluskan Projek Tebatan Banjir membabitkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dan RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta.

"Projek ini diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatannya ke Baling September lalu.

"Pelaksanaan projek itu mesti diteruskan oleh kerajaan baru kerana itu pembangunan untuk rakyat," katanya.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Hussain, 59, berkata mana-mana kerajaan yang memerintah perlu menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, kehidupan penduduk Kampung Iboi, Padang Empang dan kampung berdekatan tidak seperti dulu selepas tragedi 4 Julai lalu.

"Keadaan kampung tidak tersusun lagi dan Sungai Kupang kerap melimpah apabila hujan serta berlaku banjir.

"Malah aliran Sungai Kupang dari Lata Chelak tidak teratur dan keruh setiap masa serta penuh dengan sampah sarap dan bongkah kayu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan untuk mengatasi banjir yang berlaku sehingga membebankan penduduk.

"Kalau ada penempatan baharu yang sesuai dan selamat wajarlah kerajaan membina penempatan untuk penduduk.

"Penduduk perlu ada penempatan baharu kerana tapak asal rumah mereka tidak selamat lagi," katanya.

Bagi Abd Rahman Said, 71, dia yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam kejadian itu berharap kerajaan dapat memulihkan kampung mereka supaya lebih selamat.

Beliau berkata, penduduk yang terjejas kebanyakan bekerja kampung sekali gus punca pendapatan mereka juga merosot.

"Hasil tanaman yang menjadi pendapatan tambahan turut musnah dilanda banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:29 PM