PENDUDUK di Kampung Iboi dan kawasan berhampiran  berharap wakil rakyat yang dipilih mewakili Parlimen Baling pada PRU-15 dapat mencari penyelesaian menangani masalah banjir. FOTO BERNAMA
PENDUDUK di Kampung Iboi dan kawasan berhampiran berharap wakil rakyat yang dipilih mewakili Parlimen Baling pada PRU-15 dapat mencari penyelesaian menangani masalah banjir. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Baling: Penduduk di Kampung Iboi dan kawasan berhampiran di daerah ini berharap calon yang dipilih mewakili Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini dapat mencari penyelesaian menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Ketua Kampung Iboi Nor Mohamad Che Hussain berkata, sejak tragedi banjir aliran puing pada 4 Julai lepas, sudah sembilan kali kampung-kampung di situ dilanda banjir setiap kali hujan lebat sehingga merosakkan kediaman, harta benda dan kehilangan nyawa.

"Saya dan penduduk kampung menggesa pihak berkenaan segera mendalamkan Sungai Kupang di sini supaya aliran air yang banyak ketika hujan tidak melimpah ke kawasan rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Nor Mohamad berkata, terdapat 43 rumah berisiko dilanda banjir kilat setiap kali berlaku hujan lebat iaitu 24 rumah di Kampung Padang Empang, 13 di Kampung Dusun dan enam di Kampung Iboi.

Sementara itu, Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Iboi Malik Arshad, 59, berkata, kesan daripada tragedi 4 Julai lepas, bekalan air masyarakat yang dahulunya jernih bertukar keruh, sekali gus menjejaskan kira-kira 3,000 penduduk yang bergantung kepada bekalan air itu.

"Sudah sekian lama kami menggunakan air masyarakat yang disalurkan dari bukit malah, saya adalah generasi ketiga yang bertanggungjawab memastikan kelancaran bekalan air masyarakat ini sampai ke rumah-rumah penduduk.

"Paip rosak akibat tragedi itu sudah kami ganti, namun air masih keruh walaupun tak hujan," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pelbagai perancangan akan dilaksanakan bagi membantu penduduk Baling khususnya di kawasan berisiko banjir.

"Saya sudah beritahu kepada semua rakyat Baling projek tebatan banjir akan bermula seawal Januari 2023 memandangkan sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dalam pembentangan bajet bagi pembinaan projek tebatan banjir bernilai RM200 juta di Baling," katanya.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH) Johari Abdullah, kecekapan mengurus projek berkaitan banjir dan bekalan air akan menjadi keutamaannya sekiranya menang pada hari pengundian 19 November ini.

Parlimen Baling menyaksikan saingan empat penjuru antara Abdul Azeez, Johari serta dua lagi calon iaitu Basir Ab Rahman (Pejuang) dan Hassan Saad (Perikatan Nasional).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 9:10 AM