KEADAA rumah mangsa.
KEADAA rumah mangsa.
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Lumpur: "Sehingga kini kami belum memberitahu ibu saudara bahawa suaminya sudah meninggal dunia dalam kejadian letupan tong gas memasak," ujar Muhammad Reysham Nur Juman Addie Juman, 22.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, Isnin lalu, Mohamad Yunus, 44, maut sejurus rumah didiami di Taman Cheras Jaya, di sini, meletup berpunca kebocoran gas memasak.

Resyham berkata, tragedi berlaku ketika ibu saudaranya, Zuriyati Sapari, 41, terhidu bau gas memasak sebelum mengejutkan suaminya, Mohamad Yunus untuk memeriksa tingkat bawah kediaman.

"Tidak lama kemudian berlaku bunyi letupan kuat menyebabkan saya yang berada di kediaman itu terjaga dari tidur.

"Letupan kuat itu mengakibatkan rumah teres dua tingkat milik ibu dan bapa saudaranya itu musnah lebih 50 peratus.

"Selain rumah, empat kenderaan turut musnah membabitkan kereta Perodua Myvi, Proton Iswara, motosikal Honda RS150 dan motosikal Yamaha Ego.

"Saya tidak pernah terfikir rumah kami akan meletup begitu sekali. Selepas tersedar, saya terus capai dokumen peribadi dan telefon bimbit sebelum terdengar suara makcik menjerit memanggil minta tolong," katanya semalam.

Dia yang turun ke tingkat bawah kediaman melihat ibu saudaranya melecur manakala bapa saudaranya terbaring di luar rumah dipercayai akibat impak letupan.

"Pada masa sama, jiran berdekatan membantu kami sambil menunggu kehadiran pihak bomba dan ambulans.

"Makcik memberitahu dia berada di ruang tamu manakala suaminya pula di dapur. Belum sempat

pintu gelangsar dibuka, rumah berkenaan meletup," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Muhammad Reysham berkata, Zuriyati dan Mohamad kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, kali terakhir dapur kediaman itu digunakan pada jam 8 malam untuk memasak makan malam.

"Ketika ini, keadaan ibu saudara masih dipantau doktor di Hospital Selayang. Manakala jenazah bapa saudara saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana jam 9 pagi Rabu lalu.

"Pasangan itu sudah berkahwin sejak 14 tahun lalu namun tidak dikurniakan cahaya mata," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.20 tengah malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dan van Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyiasat punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:19 AM