KEADAAN penempatan penduduk di Kampung Padang Empang dan Iboi selepas tragedi kepala air dan banjir tidak terurus dan penuh dengan sampah dan batang kayu.FOTO Safuri Kamarudin
KEADAAN penempatan penduduk di Kampung Padang Empang dan Iboi selepas tragedi kepala air dan banjir tidak terurus dan penuh dengan sampah dan batang kayu.FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Baling: Penduduk Kampung Iboi dan Padang Empang serta beberapa kampung berdekatan di Mukim Kupang meminta supaya status keselamatan kawasan di Sungai Kupang segera diisytiharkan sebagai selamat atau sebaliknya.

Penduduk mendakwa, kehidupan mereka tidak lagi tenteram kerana kerap dilanda banjir menyebabkan mereka kerugian.

Penduduk, Siti Halimah Che Hin, 63, dari Kampung Padang Empang berkata, sejak tragedi 4 Julai lalu, sudah sembilan kali kampung mereka dilanda banjir.

"Bayangkan dalam tempoh empat bulan, sembilan kali rumah kami dinaiki air separas 0.5 hingga kira-kira satu meter.

"Banyak barangan rosak malah kami tidak mampu menukar peralatan baharu. Kami juga sangsi dengan keselamatan kawasan ini," katanya.

Siti Halimah berkata, banyak kebun tanaman rosak dan tidak dapat diusahakan seterusnya menjejaskan punca pendapatan penduduk.

"Hendak bercucuk tanam pun sukar kerana struktur tanah rosak selain kerap banjir apabila hujan lebat," katanya.

Siti Halimah berkata, sebahagian besar penduduk bekerja sebagai penoreh, petani selain penternak namun selepas tragedi banjir besar, rutin penduduk turut terjejas.

"Sepatutnya kerajaan perlu telus seterusnya mengisytiharkan kawasan kampung kami selamat atau sebaliknya untuk diduduki.

"Kampung kami kini sunyi sepi dan penduduk tidak nampak usaha kerajaan untuk memulihkan kampung bagi memajukan ekonomi penduduk," katanya.

Menurutnya, dahulu, ramai pengunjung datang berkelah dan beriadah di Lata Celak namun kini, hanya sisa kemusnahan yang tinggal.

"Yang tinggal hanya bongkah kayu, sampah sarap dan bangunan usang yang musnah dilanda banjir," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi Nor Mohamad Hussain, 59, berkata, kerajaan negeri perlu menyelamatkan Gunung Inas supaya ia dapat dipulihara dan dijaga sebagai khazanah alam yang kekal.

Beliau berkata, penduduk mahu keselamatan kampung, ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan kesihatan terus terpelihara.

"Penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Kupang masih tertanya-tanya tentang keselamatan mereka dan bimbang dengan kejadian yang berlaku," katanya.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini, hujan lebat kerap melanda. Walaupun hanya sejam, air melimpah ke rumah dan penduduk terpaksa berpindah.

"Adakah kawasan ini benar-benar selamat untuk dihuni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 11:20 AM