Guru SK Gadong Jaya menerima sepapan telur ayam daripada PIBG sempena sambutan hari guru. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Guru SK Gadong Jaya menerima sepapan telur ayam daripada PIBG sempena sambutan hari guru. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Seremban: Sepapan telur ayam menjadi hadiah istimewa daripada Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG) kepada 75 guru Sekolah Kebangsaan Gadong Jaya di sini sempena hari guru.

Yang Dipertua PIBG, Hamizan Mohd Nor berkata, idea memberikan hadiah telur ayam ini mengambil kira pelbagai keadaan termasuk ada yang mendakwa ia sukar diperoleh.

Katanya, telur ayam juga mempunyai simbolik tersendiri dalam pembabitan guru sebagai seorang pendidik.

"Selain kaya sumber protein, pemberian hadiah sepapan telur ayam pada kali ini adalah simbolik kepada besarnya peranan guru dalam mendidik anak bangsa di sekolah.

"Simboliknya kerana telur ayam umpama intan permata yang sentiasa dicari orang, agak mustahil untuk membuat kek tanpa telur dan harga sepotong kek yang mahal bermula daripada sebiji telur biasa,"katanya pada sambutan Hari Guru di sekolah berkenaan malam tadi.

Hamizan berkata, pemberian hadiah telur itu juga memberi kelainan memandangkan saban tahun guru menerima hadiah berupa kek, coklat dan pen.

Katanya biarpun bukan hadiah yang mahal, PIBG berharap guru-guru menerimanya dengan senang hati apatah lagi sumber makanan itu adakalanya payah untuk dicari.

Sementara itu Guru Besar, Redzuan Alias berkata pihak sekolah amat berterima kasih di atas ingatan dan penghargaan yang diberikan oleh pihak PIBG.

"Bagi kami bukan nilai mahal atau murahnya hadiah itu yang menjadi ukuran, sebaliknya tanda ingatan dan ucapan terima kasih cikgu daripada pihak ibu bapa itulah yang lebih bermakna buat kami semua," katanya.

Menurutnya, pemberian sepapan telur ayam sebagai hadiah pada tahun ini adalah yang pertama kali dalam sejarah hidup mereka sebagai seorang guru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:07 AM