Izad Thaqif Hassan

Baling: Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan 50 kediaman di tujuh kampung di Mukim Kupang, dekat sini, dilanda banjir kilat, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6 petang berhubung kejadian banjir berkenaan dan lapan anggota bergegas ke lokasi untuk pemantauan.

"Hasil pemeriksaan dan pemantauan mendapati kebanyakan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat itu berada berhampiran kawasan sungai.

"Kita juga mendapati kejadian berlaku berikutan air sungai yang naik mendadak dengan cepat sebelum masuk ke rumah penduduk sekitar," katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka berikutan hujan sudah berhenti dan air didapati mula surut.

Tujuh kampung yang dilanda banjir kilat itu adalah Kampung Bok Bak, Kampung Bukit Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Dusun, Kampung Charok Kapas, Kampung Hangus dan Kampung Pak Bong.

BANJIR kilat melanda tujuh kampung di Mukim Kupang selepas hujan lebat lebih dua jam, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.
BANJIR kilat melanda tujuh kampung di Mukim Kupang selepas hujan lebat lebih dua jam, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:50 PM