PENGURUS City, Pep Guardiola tuntut aksi memukau daripada anak buahnya, malam esok. FOTO Agensi
PENGURUS City, Pep Guardiola tuntut aksi memukau daripada anak buahnya, malam esok. FOTO Agensi
Agensi

London: Tiga mata wajib menjadi buruan Manchester City apabila turun dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham di gelanggang sendiri malam esok.

Jika City berjaya melakar kemenangan, kejuaraan EPL akan kekal di bumi Manchester buat kali keempat berturut-turut.

Begitupun, jika tewas dan Arsenal berjaya membenam Everton dalam satu lagi aksi, ia bakal mengakhiri dominasi City dengan trofi akan diarak ke Stadium Emirates.

Kedua-dua pasukan hanya dibezakan dua mata dengan masing-masing berpeluang menjulang mahkota kejuaraan liga.

Menurut pengurus City, Pep Guardiola, beliau mengharapkan pemainnya menggunakan kesempatan beraksi di depan penyokong sendiri untuk meraih kemenangan.

"Ya saya sedar perkara itu (pesaing terdekat Arsenal). Jurang mata agak dekat dan ia satu musim yang cukup sengit berbanding musim-musim sebelum ini.

"Apabila kejuaraan liga terpaksa ditentukan di minggu terakhir, ia menuntut aksi yang sempurna daripada pemain.

"Kami tiada pilihan lain, hanya kemenangan diperlukan untuk pastikan kami menjuarai liga musim ini," katanya.

Kesemua aksi EPL bakal berlangsung serentak pada jam 11 malam esok dengan aksi tumpuan babitkan City dan Arsenal untuk dinobatkan sebagai juara musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:54 AM