ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan itu.
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan itu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket didalangi warga asing yang menjalankan operasi kilang memproses sisa elektronik atau 'e-waste' secara haram di Klang, Selangor, terbongkar selepas premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya jam 1.30 petang, Khamis lalu.

Katanya, operasi itu dilakukan berdasarkan aduan awam berkaitan kilang disyaki beroperasi secara haram dan turut menggajikan warga asing dengan kemungkinan terdapat elemen eksploitasi pemerdagangan manusia.

"Operasi serbuan menggunakan pendekatan siasatan awal mengenal pasti mangsa

pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

"Seramai 35 warga asing diperiksa dalam operasi ini dengan 33 daripadanya iaitu dua lelaki warga China, 27 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Kemboja, seorang wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga Kemboja ditahan.

"Mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun yang bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu," katanya tadi.

Ruslin berkata, semua warga asing itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan ketika ditahan kerana ia dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang disyaki warga China.

"Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa e-waste membabitkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.

"Berdasarkan invois ditemui, sisa e-waste diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses itu hanya boleh diselia oleh pekerja warga China yang berkemahiran," katanya.

Menurutnya, bagi mengaburi aktiviti itu, warga China terbabit akan beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini.

"Hasil keuntungan aktiviti ini dipercayai boleh mencecah sekitar RM300,000 hingga RM500,000 selepas barangan siap dikitar semula.

"Berdasarkan risikan dan maklumat diperolehi daripada warga asing yang ditahan, disyaki syarikat menjalankan kitar semula e-waste ini didaftarkan kepada individu tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mengesan pemilik kilang itu berdasarkan nombor pasport diperoleh termasuk pemilik lot tanah berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

"Kami sentiasa memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu, syarikat dan majikan yang terbabit dalam menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Ini termasuk amalan pekerja terabai dan membawa kepada elemen buruh paksa dan seterusnya membawa kepada isu eksploitasi," katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

"Orang awam dinasihatkan untuk terus menyalurkan maklumat kepada JIM supaya tindakan undang-undang boleh diambil dalam usaha penguatkuasaan ke atas majikan, PATI serta membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:24 AM