GUNUNG Ibu. FOTO AFP
GUNUNG Ibu. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Beratus-ratus orang yang tinggal berhampiran gunung berapi yang meletus di Wilayah Maluku, timur Indonesia, dipindahkan selepas pihak berkuasa menaikkan status berjaga-jaga ke tahap tertinggi, kata pihak berkuasa pada semalam.

Pihak berkuasa menaikkan status amaran untuk Gunung Ibu, yang terletak di Pulau Halmahera ke tahap empat pada Khamis, selepas merekodkan dua letusan besar untuk hari kedua berturut-turut.

Pegawai agensi mitigasi bencana tempatan, Muhammad Ade Fabanyo berkata, penduduk di tujuh kampung berhampiran Ibu yang memuntahkan abu dan asap 5,000 meter (m) ke langit mula berpindah ke beberapa tempat perlindungan, lewat Khamis, selepas pihak berkuasa menaikkan status berjaga-jaga.

"Sehingga hari ini (Jumaat), mangsa terus tiba dan setakat pagi ini, data awal yang kita ada adalah kira-kira 400 orang sudah dipindahkan," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, pemindahan itu adalah langkah pencegahan yang diambil oleh pihak berkuasa kerana penduduk tinggal sekitar tujuh kilometer (km) dari gunung berapi iaitu dalam zon pengecualian yang ditetapkan oleh pegawai.

Gunung Ibu meletus lagi pada pagi Jumaat, memuntahkan abu gunung berapi 4,000 m di atas puncaknya, kata ketua agensi geologi negara, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk dan pelancong supaya menjauhi zon terkecuali empat hingga tujuh km dan memakai topeng muka sekiranya berlaku abu.

Gunung Ibu adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus lebih daripada 21,000 kali tahun lepas.

Lebih 700,000 orang tinggal di Pulau Halmahera, setakat 2022, menurut angka rasmi.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di lingkaran gunung berapi Pasifik.

Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa ribuan penduduk pulau berdekatan, berpindah.

Statusnya sejak itu sudah diturunkan ke tahap amaran kedua tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:56 AM