Massimiliano Allegri. FOTO Agensi
Massimiliano Allegri. FOTO Agensi
AFP

Rome: Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri 'disingkirkan' selepas mengamuk sebaik menjuarai Piala Itali yang dianggap keterlaluan dan melampaui nilai kesukanan.

Pemecatan itu diumumkan kelab itu menerusi satu kenyataan media sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Serie A itu.

"Juventus mengumumkan ia sudah melepaskan Massimiliano Allegri daripada peranan sebagai jurulatih utama skuad lelaki.

"Pemecatan ini berikutan tingkah laku tertentu ketika dan selepas final Piala Itali yang dianggap kelab ini tidak selaras dengan nilai-nilai Juventus dan mereka yang mewakilinya," kata kelab yang berpengkalan di Turin itu.

Allegri, 56, mencetuskan sensasi awal pagi semalam apabila dibuang padang pada minit terakhir ketika menang 1-0 ke atas Atalanta kerana memaki hamun pegawai perlawanan.

Malah beliau juga mengabaikan pengarah sukan Cristiano Giuntoli ketika pemain meraikan kejayaan selepas perlawanan itu.

Selain itu, Allegri turut didakwa mengancam ketua pengarang akhbar Tuttosport sebelum sidang akhbar selepas perlawanan.

Untuk rekod, beliau sudah menghadiahkan 12 trofi buat Juventus sepanjang dua tempoh sebagai pengurus kelab itu.

Juventus difahamkan akan melantik jurulatih Bologna, Thiago Motta bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Allegri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:11 AM