PENDUDUK melihat tebing Sungai Kupang di Kampung Iboi semakin runtuh akibat hujan lebat dan banjir kilat. FOTO Safuri Kamarudin
PENDUDUK melihat tebing Sungai Kupang di Kampung Iboi semakin runtuh akibat hujan lebat dan banjir kilat. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Penduduk di jajaran Sungai Kupang, Kampung Iboi, di sini, bimbang setiap kali hujan lebat kerana tebing sungai makin terhakis dan berlaku runtuhan.

Penduduk mendakwa sejak berlaku fenomena kepala air dan banjir Julai lalu, tebing sungai semakin terhakis sehingga tebing berdekatan Jambatan Bailey turut terkesan.

Penduduk, Azlina Mohd Aziz, 47, berkata, sejak berlaku tragedi kepala air dan banjir tempoh hari keadaan Sungai Kupang tidak lagi selamat.

"Sembilan kali berlaku banjir menyebabkan aliran sungai tidak teratur lagi kerana air menerjah tebing.

"Kami berharap kerajaan membuat tebatan di pinggir tebing bagi mengelak runtuhan tebing semakin teruk," katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Malik Arshad, 59, berkata, sekiranya banjir terus melanda kawasan itu, tidak mustahil tebing Jambatan Bailey turut terhakis.

Dia berkata, sejak kebelakangan ini kerap hujan dan berlaku banjir menyebabkan tebing Sungai Kupang mula runtuh.

"Kami bimbang sekiranya pihak berwajib tidak menangani masalah ini, ia akan menjadi lebih teruk.

"Pasir yang dikorek turut tertimbus semula ke dalam sungai sehingga menjadi cetek," katanya.

Abdul Malik berkata, kehidupan penduduk tidak semeriah seperti dulu lagi kerana hidup dalam kebimbangan.

"Keadaan rumah penduduk yang terjejas dengan banjir juga teruk dengan bongkah kayu dan sampah sarap penuh di persekitaran rumah yang tidak diselenggara.

"Air sungai juga menjadi keruh sejak kejadian itu dan bekalan air sering terputus," katanya.

Bagi Mohd Nazrul Nazri, 30, dari Kampung Padang Empang berkata, aliran sungai tertimbus dengan pasir dan bongkah kayu sehingga saliran sungai tidak teratur.

"Keadaan rumah tidak lagi terurus kerana penuh dengan selut dan sampah sarap.

"Saya terpaksa berpindah dan tidak ada lagi perkakas dan peralatan di dalam rumah kerana rosak dan hidup tidak selesa lagi," katanya yang tinggal kira-kira 20 meter dengan sungai.

Mohd Nazrul berkata, bongkah kayu balak ketika banjir sebelum ini masih ada di kawasan penempatan mereka dipercayai dari Gunung Inas.

"Saya berharap pihak berwajib dapat membersihkan kawasan penempatan penduduk yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 4:28 PM