MOHAMAD Shahrul Nizam dan keluarganya bersiap di PPS SK Gual To’ Deh selepas rumah dinaiki air sejak empat hari lalu. FOTO Ihsan Mohamad Sharul Nizam.
MOHAMAD Shahrul Nizam dan keluarganya bersiap di PPS SK Gual To’ Deh selepas rumah dinaiki air sejak empat hari lalu. FOTO Ihsan Mohamad Sharul Nizam.
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Berikutan rumah keluarganya dilanda banjir, seorang pengantin lelaki terpaksa bersiap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum berarak ke rumah pasangannya.

Mohamad Shahrul Nizam Kamarudin, 21, mengakui sedih kerana terpaksa bersanding dengan isterinya, Nur Alia Tashneem Ramli, 21, ketika bah.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bersyukur semua yang dirancang mereka berjalan lancar meskipun terpaksa bersiap di PPS Sekolah Menengah (SK) Gual To' Deh di sini.

Mereka berpindah di PPS itu sejak Selasa lalu selepas kediaman di Kampung Bendang Perol dinaiki air sehingga 1.5 meter.

"Saya dan isteri ada berbincang untuk menangguhkan majlis perkahwinan kami disebabkan banjir, tetapi keluarga nasihat agar teruskan kerana persiapan sudah 100 peratus siap.

"Rancangan awalnya, kami mahu adakan satu majlis sahaja di rumah saya... akad nikah, bersanding dan bertandang, tetapi terpaksa ubah saat akhir kerana banjir.

"Majlis itu kemudian berlangsung di rumah keluarga isteri di Kampung Bongor, Pasir Mas," katanya.

Peniaga ikan segar itu berkata, kenangan melangsungkan perkahwinan ketika banjir tidak mungkin dilupakannya sampai bila-bila.

"Perasaan gembira, sedih dan mencuit hati bercampur baur kerana bukan saya sahaja yang perlu bersiap di PPS tetapi ahli keluarga lain yang menyertai rombongan ini," katanya yang menetapkan tarikh perkahwinan itu sejak tiga bulan lalu kerana menyangka banjir bermula hujung Disember.

Sangkaannya meleset dan kini fokusnya adalah membantu membersihkan rumah apabila banjir surut kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 7:25 PM