Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Seorang nenek meredah banjir sejauh 200 meter dengan mendukung cucu berusia 19 hari untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, di sini, jam 10 malam tadi.

Narizan Zakaria, 57, membawa cucunya, Mohamad Aydel Rafael Muhammad Saiful, untuk meredah banjir separas 0.6 meter susulan paras air yang semakin naik selain risau akan keselamatan cucunya itu.

Katanya, anaknya, Zulkartini Hassan, 31, yang sedang berpantang dibawa keluar menggunakan perahu namun cucu didukung olehnya kerana risau perahu terbalik memandangkan laluan keluar agak sukar dan gelap.

"Dengan bertemankan lampu suluh, saya mendukung cucu dalam gelap malam dan kesejukan. Namun, apa yang saya fikir ketika itu hanyalah perlu kuat demi menyelamatkan cucu.

"Selepas meredah banjir, kami berjalan pula sejauh 200 meter untuk ke PPS dan sebaik tiba, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyediakan tempat untuk kami berteduh.

"Alhamdulillah, cucu saya tidak meragam dan ibunya dalam keadaan baik. Kami berasa lega sudah berada di tempat selamat dan berdoa semoga banjir kali ini tidak seteruk Februari lalu, sehingga menenggelamkan seluruh kediaman saya," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini.

Seramai lima keluarga membabitkan 17 mangsa dipindahkan ke PPS SK Gual To'Deh, di sini, sejak malam tadi

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 12.30 tengah hari, hari ini, paras air Sungai Golok menghampiri tahap amaran iaitu 7.82 meter menyebabkan beberapa penempatan rendah mulai dinaiki air.

Norizan berkata, keluarganya sudah dikunjungi pegawai dan anggota semalam, yang datang menasihatinya untuk keluar berpindah lebih awal bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

"Bagaimana pun, saya minta untuk diberi masa mengemas rumah terlebih dahulu dan mengambil keputusan untuk meredah sahaja air kerana sudah biasa dengan situasi ini.

"Rumah kami adalah penempatan yang awal dinaiki air setiap kali musim tengkujuh dan biasanya air mencecah sehingga 1.5 meter sehingga dua meter.

"Saya berharap bah kali ini tidak mengambil masa yang lama supaya anak saya dapat kembali ke rumah dan berpantang seperti biasa," katanya.

Menurutnya, mereka dilayan dengan sangat baik oleh agensi keselamatan yang bertugas selain turut mendapat pemeriksaan daripada klinik kesihatan terdekat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 1:37 PM
NARIZAN memangku cucunya yang berusia 19 hari sambil diperhatikan anaknya, Zulkartini ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
NARIZAN memangku cucunya yang berusia 19 hari sambil diperhatikan anaknya, Zulkartini ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA