Sebahagian mangsa-mangsa banjir dari Kampung Bendang, Perol, di sini, terpaksa akur untuk berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS), malam tadi, walaupun baru sahaja tiga hari pulang ke rumah susulan kediaman dilanda banjir ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian mangsa-mangsa banjir dari Kampung Bendang, Perol, di sini, terpaksa akur untuk berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS), malam tadi, walaupun baru sahaja tiga hari pulang ke rumah susulan kediaman dilanda banjir ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk Kampung Bendang, Perol di sini, terpaksa akur untuk berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS), malam tadi, walaupun baru sahaja tiga hari pulang ke rumah, susulan kediaman sekali lagi dilanda banjir.

Nurasila Abd Majid, 28, berkata dia dan keluarga berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, 12.30 tengah malam tadi, selepas air mula melimpahi kawasan halaman rumahnya kira-kira 0.7 meter dan pada masa sama, hujan lebat.

Katanya, belum sempat menarik nafas lega dapat pulang ke rumah, sekali lagi dia sekeluarga terpaksa berdepan saat getir meredah banjir dalam gelap untuk menyelamatkan diri.

"Kami tak berfikir panjang tetapi terus keluar ke tempat selamat memandangkan air biasanya naik mendadak pada waktu malam. Tambahan pula, saya sendiri mempunyai anak kecil yang perlu difikirkan.

"Sebelum ini, sudah lebih dua minggu kami berteduh di PPS serta pulang ke rumah sebaik air mulai surut dan kering. Tidak sangka belum sempat kami membersihkan rumah sepenuhnya, banjir datang lagi.

"Nampaknya PPS akan menjadi rumah kedua buat saya sekeluarga, namun berharap segera pulih dan tidak berpanjangan kerana risau akan keadaan rumah yang sudah lama digenangi air," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung itu, Mek Yam Ahmad, 82, mengakui berasa sebak kerana sudah penat mahu berpindah memandangkan dia juga sudah tidak boleh berjalan serta perlu dibantu.

"Hari ini, selesai sahaja waktu Subuh, anak saya terus mengangkat saya ke dalam perahu untuk meredah banjir ke PPS. Kami bimbang kerana banjir sudah naik dengan banyak dan jika hujan berterusan, sedikit saja lagi akan masuk ke dalam rumah.

"Saya baru sahaja gembira kerana boleh pulang ke rumah sendiri dan hati mula gelisah memikirkan hujan tanpa henti, semalam. Kemudian, anak memaklumkan bahawa kami perlu berpindah segera kerana paras air semakin meningkat.

"Naik perahu, turun perahu, macam ini lah nasib saya setiap kali musim tengkujuh, namun tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana di sini sahaja kediaman serta tanah yang saya ada," katanya.

Menurutnya, rumah kayu miliknya juga semakin mereput dan bimbang akan runtuh kerana sering ditenggelami banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 8:42 AM