Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: "Alhamdulillah, nasib baik anak sanggup menggendong saya mengharungi banjir sejauh 200 meter untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman kami sudah tidak selamat untuk diduduki," luah Che Limah Che Awang, 88.

Che Limah antara mangsa paling berusia di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, yang terpaksa diangkat serta dipapah susulan tidak mampu lagi mampu berjalan kerana sakit tua.

Dia mengakui bersyukur kerana anaknya, Faizal Ramli, 34, sanggup menggendongnya mengharungi banjir separas 0.4 meter, semalam, disebabkan takut untuk menaiki perahu kerana bimbang berkemungkinan terbalik.

"Saya sendiri sudah tidak berdaya dan hanya mampu mengharapkan anak lelaki untuk membantu. Walaupun terpaksa meredah air dan berhujan dia tetap menggagahkan diri untuk menggendong saya seperti anak kecil.

"Pada awalnya, kami mahu tinggal sahaja di rumah, tetapi selepas melihat air naik dengan cepat petang semalam, anak segera minta saya bersiap dan berpindah.

"Ketika digendong, saya beberapa kali bertanya kepada anak kerana risau dia lenguh untuk membawa saya, namun dia hanya tersenyum dan memberitahu bahawa dia baik-baik sahaja," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini.

CHE Limah antara mangsa paling berusia di PPS SK Gual To'Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Limah antara mangsa paling berusia di PPS SK Gual To'Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Che Limah berkata, setiap kali banjir melanda dia terpaksa berpindah ke tempat selamat kerana kediaman akan dinaiki air separas 1.5 meter sekali gus membahayakan dirinya dan keluarga.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak selesa berada di PPS tetapi apakan daya di sini sahaja tempat paling selamat ketika banjir.

"Saya hanya berada di dalam khemah yang disediakan dan keluar untuk ke tandas sahaja dengan bantuan anak.

"Selain membawa baju dan dokumen penting, saya juga bawa bersama ubat-ubatan kerana risau jatuh sakit. Saya tidak boleh berjalan sendiri dan hanya mampu mengengsot untuk ke mana-mana .

"Saya berharap banjir segera reda dan dapat kembali ke rumah selain bimbang dengan keadaan rumah yang ditenggelami air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:40 PM